Pembahagian Kerusi Umpama Pembahagian Harta ‘Ghanimah’ Buat Pembangkang

banner-1m

KUALA LUMPUR: Biarpun Pilihanraya Umum (PRU) Ke 13 semakin hampir, Pakatan Pembangkang sehingga hari ini masih tidak mendedahkan keputusan pembahagian kerusi yang dipersetujui oleh kepimpinan  tertinggi di antara ketiga-tiga parti tersebut.

fairus_guan_eng_2_new

Menurut bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin, isu pembahagian kerusi ini bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan hari ini sudah muncul sifat ketamakan yang baru di dalam parti-parti Pakatan Pembangkang dalam soal pembahagian kerusi.

“Saya umpamakan pembahagian kerusi di antara parti pakatan pembangkang ini lebih kepada pembahagian harta-harta ‘ghanimah’ yang bakal mereka perolehi sekiranya menang dalam PRU akan datang dan bukannya datang dari niat yang bersih untuk perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Pembahagian kerusi ini bukanlah dengan niat untuk berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya pembahagian kerusi ini lebih tertumpu kepada agenda peribadi dan nafsu parti masing-masing yang bergabung di dalam Pakatan,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Malah menurut beliau lagi, ada juga parti-parti Pakatan di peringkat negeri sudah mengumumkan terlebih dulu calon-calon mereka, sedangkan belum ada keputusan muktamad dari pihak pemimpin tertinggi Pakatan Pembangkang.

“Ini jelas membuktikan bahawa kepimpinan Pakatan Pembangkang tidak ada disiplin dalam bergerak di dalam sesebuah organisasi. Mereka seolah-olah membelakangkan keputusan pusat demi agenda peribadi masing-masing.

“Ini adalah antara contoh yang menjadi salah satu sebab mereka tidak layak menjadi pemimpin untuk memerintah negara. Sebelum menjadi pemimpin, mereka perlu menjadi pengikut yang taat dan menghormati keputusan pemimpin atasan.

Ini belum apa-apa, sudah berani bertindak sendiri dan membelakangkan keputusan kepimpinan tertinnggi parti mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Seterusnya, Fairus turut menjangkakan bahawa isu pembahagian kerusi ini akan menjadi satu polemik dan perbalahan yang panjang di antara kepimpinan parti-parti di dalam Pakatan Pembangkang.

“Ini memandangkan tidak wujudnya persefahaman dalam pelbagai bentuk keputusan bersama diantara kepimpinan parti-parti Pakatan.

Kita dapat lihat dengan jelas di atas beberapa isu-isu di mana kita lihat setiap kepimpinan parti-parti di dalam Pakatan mempunyai pendirian yang berbeza sesama sendiri.

“Begitu juga dengan isu pembahagian kerusi di antara mereka. Saya yakin, kepimpinan tertinggi Pakatan tidak berani untuk membuat pengumuman kepada rakyat sehingga ke hari ini  ekoran timbulnya masalah-masalah dalam hal ini serta  tidak mendapat persetujuan yang mutlak antara ketiga-tiga parti tersebut,” tegasnya.