China Perteguh Hubungan Diplomatik Dengan Malaysia

PUTRAJAYA, 8 Okt – Kerjasama Malaysia-China termasuk usaha menangani kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan usaha sama besar, adalah antara beberapa perkara yang dibincangkan ahli politik berkedudukan tinggi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

image

Kaunselor Negara China Yang Jie Chi yang sedang dalam lawatan ke negara ini, mengadakan kunjungan ke atas Najib, yang juga Menteri Kewangan, di Kementerian Kewangan di sini.

Turut hadir Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Besar China di Malaysia Huang Huikang dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar, Liu Zhenmin.

Ka Ting berkata dalam pertemuan 40 minit itu, Najib dan Yang bertukar-tukar pandangan mengenai projek-projek usaha sama besar yang sedang dilaksanakan termasuk Taman Perindustrian Qingzhou China-Malaysia di Qingzhou, China dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China di Gebeng, Pahang dan kampus Xiamen University Malaysia di Sepang.

“Perbincangan berjalan lancar. Kerajaan China memandang serius cadangan-cadangan kerajaan Malaysia dan segala kerjasama kedua buah negara sedang diusahakan dari segi ekonomi, kerjasama perdagangan, kerjasama serantau dan juga pendidikan,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Ka Ting berkata Yang, yang berada di Malaysia untuk lawatan dua hari bermula hari ini, juga menyampaikan mesej daripada Presiden China Xi Jinping dan perdana menteri China Le Keqiang kepada Najib bagi memperteguhkan lagi hubungan baik dengan Malaysia.

Advertisements