Himpunan Gabungan Bantah Cukai GST Dan Protes Kenaikan Harga Minyak Diluar Bangunan Parlimen Hambar

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Gabungan Bantah Cukai GST dan Protes Kenaikan Harga Minyak hari ini mengadakan himpunan di perkarangan Parlimen bagi membantah kenaikan harga bahan api sebanyak 20 sen, yang diumumkan kerajaan beberapa hari lalu.
image

Gabungan itu juga mendesak agar kerajaan menimbang semula keputusan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2015.

Bagaimanapun, himpunan yang turut disertai ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu dilihat tidak mendapat sambutan di kalangan orang awam.

Malah memorandum bantahan yang dihantar gabungan tersebut hanya diterima wakil BNBBC (The Barisan Nasional Backbenchers Club) Omar Daud dan Pegawai Khas Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Zin Zainal.

Antara Ahli Parlimen yang kelihatan memberi sokongan adalah Datuk Mahfoz Omar (PAS – Pokok Sena), Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR – Kuala Langat),  Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Er Teck Hwa (DAP – Bakri), Tian Chua (PKR – Batu) dan Khalid Samad (PAS – Shah Alam).

Turut kelihatan kelibat wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parti Sosialis Malaysia (PSM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan kumpulan Asal Bukan Umno (ABU).

Selesai sesi penyerahan memorandum, Suhaizan menegaskan bahawa ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan berbahas habis-habisan termasuk ketika pembentangan Bajet 2015 pada Jumaat ini, bagi menghalang GST dilaksanakan di negara ini.

“Saya berjanji bagi pihak ahli Parlimen PR kami sentiasa menjiwai semangat dibawa kami harap dorongan, semangat dan dokongan untuk bersama kami dan sentiasa memberikann input-input berharga membantu kita menyemarakkan lagi perjuangan ini.

“Pertama Jumaat ini harapan rakyat pengumuman bajet adalah GST dibatalkan pengumuman kedua ialah penurunan harga minyak 40 sen,” tegasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menjelaskan di bawah Program Transformasi Ekonomi, GST merupakan pembaharuan strategik yang bertujuan untuk memodenkan sistem cukai negara untuk menjadikannya lebih berkesan, cekap dan mesra perniagaan.