Kerajaan Tidak Pernah Pilih Kasih Didalam Mengambil Tindakan Terhadap Hasutan – Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kerajaan tidak bersikap pilih kasih dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu kesalahan mengandungi unsur hasutan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

image

Beliau berkata, keputusan untuk mengemukakan pertuduhan bagi mendakwa seseorang individu adalah berdasarkan keterangan serta fakta kejadian dan bukanlah atas desakan mana-mana pihak atau sebarang faktor lain.

Kerajaan, katanya, tidak mengambil kira latar belakang agama, kaum atau kecenderungan politik individu berkenaan asalkan ia menepati terdapatnya elemen hasutan pada setiap kesalahan yang dilakukan.

“Keputusan tersebut dibuat dengan adil tidak memihak kepada sesiapa dan berlandas kepada integriti bagi memastikan mangsa atau saksi memperoleh keadilan sewajarnya,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Bung Moktar mencadangkan agar kerajaan menggubal serta memperkuatkan Akta Hasutan 1948 bagi membanteras individu yang mempunyai agenda berunsur hasutan bertujuan memecah-belahkan perpaduan, keharmonian serta mengganggu-gugat keselamatan negara.

Nancy berkata, Akta Hasutan masih dalam proses pindaan serta kajian oleh Jabatan Peguam Negara kerana masih mendapat maklum balas dan proses ‘engagement’ dengan pihak yang mempunyai kepentingan dalam hal tersebut.

Katanya, kuasa pendakwaan terletak kepada Jabatan Peguam Negara sepertimana termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Advertisements