Pasukan Penyiasat Antarabangsa Akan Masuk Semula Lokasi Kejadian

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pasukan penyiasat antarabangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dijangka masuk semula ke lokasi kejadian pada musim bunga iaitu April tahun depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

imageBeliau berkata perkara itu diputuskan pasukan penyiasat tiga negara iaitu Malaysia, Belanda dan Australia, berikutan siasatan dihentikan akibat musim sejuk yang sedang melanda timur Ukraine ketika ini selain pergolakan yang masih berterusan di sana.

“Pertempuran di sana masih berlaku, terbaru saya difahamkan pagi tadi berlaku kejadian tembak-menembak antara kumpulan pemisah dan pihak berkuasa Ukraine di lapangan terbang di Donetsk, Ukraine,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Bukit Aman semalam.

Khalid berkata pasukan penyiasat tragedi MH17 akan menumpukan kepada lokasi baru di kawasan nahas pesawat itu membabitkan sebuah ladang ternakan yang terdapat serpihan pesawat yang terbakar.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.