Pharolrazi Minta Nik Abduh Dedahkan Nama Dalang Untuk Jatuhkan Hadi Awang Dan Majlis Syura Ulama

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Pharolrazi Zawawi meminta ahli Parlimen PAS dari Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz menjelaskan pihak mana yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama PAS.

image

“Saya minta Nik Abduh menjelaskan apa yang dimaksudkan, konspirasi antarabangsa yang mahu menjatuhkan Datuk Hadi dan ulama.

“Kalau tidak mahu menjelaskan kepada umum, beliau boleh melakukannya kepada jawatankuasa PAS Pusat. Saya percaya mereka juga mahu tahu perkara tersebut.

“Selagi tidak dijelaskan akan terus membuat orang ramai dan juga ahli PAS tertanya-tanya,” katanya yang dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Nik Abduh yang juga anak Mursyidul Am PAS Nik Aziz mendakwa konspirasi antarabangsa mahu menjatuhkan Hadi dan Majlis Syura PAS.

Beliau mengulangi kenyataan itu semalam.

Bagaimanapun, Pharolrazi mendakwa, Nik Abduh tidak mengemukakan bukti mengenai perkara itu.

“Pemimpin termasuk Hadi bukan 100% sempurna, kalau ada yang tidak sukakan beliau ini perkara biasa. Sebagai pemimpin kita mesti menerima kenyataan itu.

“Ini biasa dalam politik, berlaku dalam mana-mana parti politik,”  kata beliau lagi.

Pharolrazi  menegaskan Pasma tidak terbabit dengan usaha menjatuhkan mana-mana pemimpin PAS atau Pakatan Pakyat.

Katanya, Pasma hanya berperanan sebagai badan yang berusaha mendekati masyarakat terutama di kalangan penyokong Pakatan Rakyat.