Cadangan Menyenarai Hitam Peminjam Yang Gagal Membayar Balik Pinjaman PTPTN Bertujuan Mendidik

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Cadangan menyenarai nama mereka yang gagal membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) perlu dilihat dalam konteks mendidik dan bukan menghukum.

image

Pengurus Besar Kanan PTPTN Tuan Din Tuan Mat berkata tindakan itu juga boleh menjurus kepada peminjam menguruskan kewangan masing-masing dengan lebih baik.

“Apa yang penting sekarang kita harap peminjam yang mempunyai masalah bayaran semula supaya datang berunding tentang mekanisme pembayaran secara berkala,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau juga berkata terdapat terma dan syarat tertentu yang boleh dirunding bagi peminjam yang merasakan mereka tidak mampu membayar semula pinjaman secara berjadual seperti ditetapkan PTPTN.

Bercakap di Putrajaya pada Khamis, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kira-kira 170,000 peminjam PTPTN diberi peluang berbincang mengenai kaedah pembayaran balik sebelum nama mereka disenarai dalam CCRIS.

Idris berkata jika dilaksana, tempoh tiga bulan akan diberi untuk peminjam berbincang dan seterusnya membuat bayaran sebelum nama mereka disenarai dalam CCRIS.