Kementerian Pertahanan Harap Bajet 2015 Dapat Perkukuh Aset Ketenteraan – Abdul Rahim Bakri

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kementerian Pertahanan berharap pembentangan Bajet 2015 Jumaat ini akan memberi tumpuan memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara dengan pembelian aset ketenteraan lebih canggih.

image

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata, bajet kali ini dijangka memberi fokus kepada penambahan bilangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berdepan dengan ancaman musuh di kawasan berisiko tinggi terutama di timur Sabah.

“Kita memerlukan banyak peruntukan untuk pertahanan bagi membeli lebih banyak aset untuk ditempatkan di lokasi yang dipercayai mempunyai risiko ancaman musuh terutama di timur Sabah.

“Ini kerana kita mesti melengkapkan anggota tentera kita terutama yang berkhidmat di kawasan berisiko dan sudah tentu memerlukan penambahan senjata dan bot untuk menjalankan operasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kem Tahunan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Kem Wardieburn di sini, sebentar tadi.

Abdul Rahim berkata, Kementerian Pertahanan juga sudah mengenal pasti beberapa perkhidmatan penting negara termasuk pengendali bahan api dan penyiaran untuk diserap dalam angkatan sukarela RAJD.

Beliau berkata, perkhidmatan lain yang sudah dikenal pasti adalah Lapangan Terbang, Pengangkutan Udara Awam, Pengangkutan Laut Awam dan Jabatan Pemetaan Negara.

Katanya, tugas mempertahankan negara adalah tanggungjawab bersama dan aspek kesiapsiagaan adalah penting membabitkan setiap jabatan dan agensi terbabit dalam menghadapi ancaman musuh.

“Kita harus mempunyai persiapan yang mencukupi. Buat masa ini usaha sudah dijalankan, kita tunggu maklum balas daripada agensi berkenaan supaya memberi ruang kepada kakitangan mereka untuk terbabit dalam angkatan ini,” katanya.

Advertisements