Masih Terlalu Awal Untuk Kaitkan Letupan Bom Di Bukit Bintang Angkara Pengganas – Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 9 Okt – Polis akan membuat siasatan menyeluruh kejadian letupan di sebuah kompleks di Bukit Bintang awal pagi tadi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

image

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan polis dan masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian dengan sebarang kemungkinan termasuk tindakan pengganas.

“Saya akan minta pihak PDRM mengeluarkan kenyataan mengenainya apabila bukti konklusif dan penyiasatan telah dijalankan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

Seramai 14 orang dilaporkan cedera termasuk seorang pekerja joki lelaki parah dalam insiden letupan bom buatan sendiri pada kira-kira 4.20 pagi itu. Kejadian itu dipercayai serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua, tempat letak kereta bangunan berkenaan.