Wan Junaidi Minta Orang Ramai Tidak Buat Spekulasi Tentang Letupan Bom Buatan Sendiri Di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sendiri atau menuduh warga asing terlibat dalam kejadian letupan bom buatan sendiri di hadapan sebuah kelab malam di Kompleks Sun, Bukit Bintang, awal pagi Khamis.

image

“Mungkin insiden ini ada kaitan dengan persaingan perniagaan, antara kelab-kelab malam atau sebagainya. Saya sudah menerima laporan awal kejadian itu tetapi saya tidak dapat mendedahkan punca sebenar kejadian sehingga siasatan polis selesai,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Wan Junaidi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang mengaitkan kejadian itu dengan penglibatan warga asing berdasarkan peningkatkan indeks kes jenayah di negara ini.

Namun, beliau yang melahirkan rasa simpati terhadap 14 orang yang cedera dalam insiden itu, memberi jaminan bahawa pihak yang terlibat dalam kejadian letupan bom itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap.