Kerajaan Tambah Peruntukan BR1M Dalam Bajet 2015

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Bantuan Rakyat 1 Malaysia kini ditambah baik merangkumi peningkatan jumlah bantuan tunai dengan memperluaskan kategori dan memperkenalkan Kumpulan Takaful Rakyat 1 Malaysia (i-BR1M).

image

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan nilai pemberian BR1M daripada RM500 kepada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

“Bantuan kewangan RM450 pula diperluas kepada isi rumah berpendapatan sederhana antara RM3,001 dan RM4,000 sebulan,” menurutnya.

Bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas, yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah sebulan, pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300.

Selain itu, bantuan RM50 dalam bentuk caruman premium i-BR1M turut diberi kepada semua penerima BR1M kategori isi rumah, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kewangan RM700 kepada isi rumah berpendapatan rendah dan RM500 untuk isi rumah berpendapatan sederhana rendah.

Ini sekaligus dapat memberi perlindungan sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal penerima antara 1 Jan hingga 31 Dis 2014.

Sehingga Ogos lepas, sebanyak RM197.3 juta bagi i-BR1M dengan 10,343 tuntutan dibuat oleh penerima BR1M bernilai RM32.8 juta.

Ujar Najib, kerajaan akan terus komited membantu meringkan beban hidup rakyat yang semakin meningkat, termasuk mereka yang berpendapatan rendah.

Pembentangan Bajet 2015 turut menunjukkan kadar hutang isi rumah menurun daripada 11.5 peratus atau RM855.9 bilion yang dicatat pada akhir 2013.

Hutang isi rumah termasuk pinjaman, terutama yang diberikan oleh sistem perbankan, institusi kewangan pembangunan, Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan dan institusi kredit lain.

“Bagaimanapun, risiko kepada kestabilan kewangan domestik kekal terkawal disokong oleh aset kewangan isi rumah yang lebih daripada mencukupi, keadaan pasaran buruh dan pertumbuhan pendapatan yang stabil,” menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Sementara itu aset kewangan isi rumah terus mencatatkan peningkatan sebanyak 8.1 peratus kepada RM1,996.9 bilion pada akhir Julai 2014.

Pada akhir 2013 lalu aset kewangan isi rumah hanya mencatatkan RM1,902.6 bilion.

Dalam tempoh yang sama, aset kewangan isi rumah menyumbang lebih dua kali ganda daripada hutang isi rumah.

Daripada jumlah aset kewangan, 41.6 peratus terdiri daripada deposit dan instrumen mirip deposit, memetik laporan ekonomi tersebut.