Pakatan Rakyat Dakwa CGT Lebih Bermanafaat Berbanding GST

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pakatan Rakyat (Pakatan) mendakwa pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun hadapan akan memangsakan rakyat dan negara akan menanggung beban ekonomi yang parah.

image

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau percaya kerajaan seharusnya memperkenalkan cukai-cukai yang mensasarkan golongan kaya terlebih dahulu, seperti Cukai Keuntungan Modal (CGT) dan Cukai Warisan Harta.

“Apabila ekonomi lebih berkembang dan pertumbuhan ekonomi meningkat, kutipan dari CGT atas keuntungan urusniaga melibatkan modal juga akan meningkat tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2015 di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dua jenis cukai tersebut dipercayai dapat mengekalkan kadar cukai pendapatan rendah dan pada masa yang sama meningkatkan nisbah cukai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malah beliau turut mendakwa tahun 2015 bakal menjadi satu tempoh mencabar bagi rakyat Malaysia dalam menghadapi dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Selain unjuran ekonomi negara di tahap sederhana, ujar Anwar Pakatan turut menjangkakan kadar inflasi negara bakal meningkat.

“Kita jangkakan 2015 bakal menjadi tahun yang perit bagi rakyat atas keadaan ekonomi yang mencabar dan ekonomi global dan domestik.

“Kita mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar sederhana sekitar lima peratus dengan mengambil kira prestasi pencapaian lima tahun sebelum ini.

“Kita menjangkakan kadar inflasi akan meningkat kepada 3.2 peratus,” ujarnya di sidang media pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2015 di Dewan Rakyat, petang tadi.

Mereka berterusan mendakwa kerajaan gagal mengimplementasi setiap pelan ekonomi tahunan secara baik sehingga membawa kepada salah guna.

“BN masih gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang ditetapkan, malah defisit belanjawan masih tinggi, malah turun berdepan dengan risiko penarafan kredit antarabangsa disemak ke bawah,” ujar Anwar lagi, yang turut ditemani Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfoz Omar.

Namun dalam sidang media berkenaan Anwar tidak menyatakan secara terperinci mengenai unjuran yang bakal dikenakan kepada golongan kaya berkenaan.

Sekaligus ia menunjukkan pembentangan bajet Pakatan ini hanyalah retorik semata-mata seperti bajet yang pernah diumumkan sebelum ini.

GST dijadual diperkenalkan April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Malah ia tidak akan membebankan rakyat kerana pengguna hanya akan dikenakan cukai berdasarkan kepada barangan atau perkhidmatan yang mereka gunakan sahaja.

Kerajaan turut bersedia untuk menilai barang atau perkhidmatan keperluan rakyat untuk dikecualikan GST asalkan mereka memahami sistem cukai ini demi kepentingan negara.

Advertisements