Timbalan Presiden FOMCA Harap Bajet 2015 Dapat Kurangkan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman menegaskan kerajaan perlu mewujudkan inisiatif-inisiatif berterusan yang dapat meringankan beban rakyat, menjelang pengumuman Bajet 2015 hari ini.

image

Kata beliau, dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pastinya masyarakat bimbang akan kesan-kesan yang mungkin perlu ditanggung mereka.

“Bajet 2015 ini diharap dapat membantu sekiranya kerajaan dapat menyediakan beberapa insentif dan mungkin meneruskan beberapa insentif yang diberikan pada bajet yang lepas yang bertujuan meringankan beban rakyat terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.”

“Kita harapkan bahawa insentif-insentif seperti Kedai Rakyat 1 Malaysia, Klinik Rakyat 1 Malaysia dan produk-produk  1 Malaysia diteruskan dan dikembangkan terutama sekali di kawasan luar bandar kerana ini dapat banyak membantu meringkan beban  rakyat dari segi menanggung kos sara hidup,”katanya.

Menyentuh mengenai BR1M, Mohd Yusof berkata, bantuan sebegitu mungkin kurang berkesan jika diberikan secara sekali atau pun “one-off”.

Ini kerana, wang tersebut mungkin akan digunakan sekaligus oleh rakyat, dan pengurusan wang tersebut mungkin kurang baik.

Mohd Yusof juga turut menyarankan agar bantuan tersebut diagihkan secara berterusan, iaitu setiap bulan misalnya agar mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan seisi rumah bulanan.

“Sebelum ini kita dapati bahawa kerajaan banyak memberi bantuan-bantuan secara one off seperti BR1M, kemudian bantuan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah begitu juga dengan baucar buku.

“Ini juga boleh diteruskan tetapi perlu ada penambahbaikan. Umpamanya BR1M pada tahun lepas ia diberikan dalam jumlah RM650 kepada golongan sasaran cuma kita harap bahawa biar adanya penambahbaikan supaya mencapai sasaran.

“Kalau dulu kerajaan beri dalam bentuk sekali bayar tetapi kali ini kalau boleh diagihkan mungkin kalau tidak dapat diberikan dalam bentuk 2 bulan mungkin enam bulan supaya wang tersebut hanya digunakan untuk membeli barang-barang keperluan,” ujarnya.

Antara lain, Mohd Yusof turut ingin melihat beberapa perkara lain dibincangkan pada pembentangan Bajet 2015.

“Kalau kita lihat sebelum ini kerajaan ada mewujudkan program rumah pertamaku kemudian ada juga skim-skim lain, bantuan untuk golongan yang baru bekerja memiliki kenderaan dan sebagainya. Program-program tersebut telah diwujudkan dalam bajet-bajet seblum ini.

“Jadi, kemungkinan ada penerusan. Sebelum ini juga bajet yang diberikan khusus untuk golongan muda untuk membeli telefon pintar dan ada kemungkinan ini akan diteruskan untuk bantu generasi Y untuk menjalankan kehidupan mereka,” tambah Mohd Yusof.

Mohd Yusof turut berharap agar pengumuman Bajet 2015 tidak melupakan rakyat yang dikategorikan sebagai ‘kelas pertengahan’ atau “middle-class”  yang mempunyai pendapatan bulanan RM5000 ke bawah.

Ini terutama sekali mereka yang menetap di kawasan bandar dan mempunyai beban tanggungan kos sara hidup lebih tinggi.

“Kita harap kali ini lingkungan untuk kos sederhana itu dapat dilanjutkan sehingga RM5,000. Sebelum ini dalam paras tersebut dalam lingkungan RM4,000 dan kebawah daripada RM3,000-RM4,000.

“Jadi, kali ini kita harap kerajaan dapat melebar luaskan kos pendapatan sederhana itu dari RM3,000-RM5,000,”tambahnya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayangkan bahawa Bajet 2015 merupakan belanjawan ‘pro-rakyat’ dan meliputi langkah-langkah mengurangkan beban kos hidup.

Antara lain, Bajet 2015 akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Najib juga menggariskan mengenai pentingnya program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).