Ahli Parlimen Pokok Sena Setuju Dengan Cadangan Kenaikan Gaji Anggota Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Okt – PAS menyambut baik cadangan untuk kenaikan gaji anggota Dewan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini.

mahfuzomar1_M

Menurut ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan itu amat wajar memandangkan kekangan dan juga faktor ekonomi dan keadaan semasa pada masa kini.

“Dah PM nak beri… Secara keseluruhannya ia wajar sebab ia atas permintaan ‘backbenchers’. Segala peruntukan yang mereka dapat untuk pembangunan juga dirasakan terbeban, begitu juga kami.

“Tanah merah selori pun orang minta dengan kami tapi saya tidak tahu berapa jumlah kenaikannya,” katanya ketika ditemui media selepas pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat semalam.

Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS, bagaimanapun mengharapkan jumlah itu nanti perlulah dalam jumlah yang besar dan berpatutan.

“Saya difahamkan Jusa C minimumnya RM7,000. Kami baru RM6,500. Mungkin naik RM500. Kalau naik RM500 lekat celah gigi sajalah,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun dan gaji anggota Dewan Rakyat kepada Gred 54 bersamaan Jusa C bersesuaian dengan peranan kepimpinannya.

Anggota Dewan Negara pula akan merasai kenaikan kepada Gred 48 bersamaan Jusa C.

Najib turut mengumumkan kenaikan bagi Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kali terakhir Ahli Parlimen menikmati kenaikan gaji ialah pada 2004 iaitu 11 tahun lalu.

Gaji Ahli Parlimen pada masa ini telah diguna pakai sejak 1 Januari 2004 iaitu sebanyak RM6,500.

Pembangkang sebelum ini membantah kenaikan tersebut.