Bajet 2015 Peruntukan Dana Kepada PKS Untuk Tingkatkan KDNK

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Peruntukan bantuan pembiayaan melalui program ‘Sustainable Mobility Fund’ dan ‘SME Investment Partner’ yang diumumkan dalam Bajet 2105, akan merancakkan penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam aktiviti ekonomi.

image

Ia juga akan membantu mencapai sasaran sumbangan sektor tersebut kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus menjelang 2020.

Melalui program berkenaan, dana permulaan berjumlah RM375 juta akan disediakan untuk tempoh lima tahun, dengan RM250 juta daripada SME Bank dan RM125 juta lagi daripada pelabur swasta.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Radzif Mohd Yunus berkata bank menyambut baik Bajet 2015 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya dalam agenda PKS.

“SME Bank mendokong penuh mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan akan terus menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan sumbangan sektor tersebut,” katanya di dalam satu kenyataan.

Radzif berkata satu projek usaha sama bagi menggilap bakat keusahawanan dalam kalangan belia akan dijalankan bersama Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) dan Agro Bank, sementara program “SME Investment Partner” akan dijalankan dengan SME Corp.