MCA Sedang Kaji Untuk Buat Perubahan Terhadap Penstruktur Parti – Ong Ka Chuan

KUALA LUMPUR, 11 Okt – MCA sedang mengkaji untuk membuat perubahan terhadap penstruktur parti itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

OngKaChuanii_10052014_840_560_100Menurut beliau, perkara pertama yang diberi perhatian adalah perubahan corak pemilihan dengan memberi peluang kepada ahli parti di peringkat bahagian memilih pucuk pimpinan pusat.

Kaedah pemilihan sekarang dikatakan hanya membenarkan 2,375 perwakilan dari 191 bahagian memilih.

“Kita dalam proses untuk membesarkan bilangan ahli yang terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan pusat. Sebelum ini, kita ada satu sistem iaitu ‘central deligates’ iaitu perwakilan yang dipilih di peringkat bahagian.

“Kita ada 191 bahagian. Dari situ kita pilih 2,375 wakil ke pusat dan mereka akan memilih Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan semua AJK MCA.

“Tapi kali ini kita ingin meluaskan supaya lebih ramai ahli yang boleh terlibat dalam pemilihan. Kita akan turunkan pemilihan ini di peringkat bahagian,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan kira-kira 30,000 hingga 40,000 ahli MCA bakal memilih pemimpin mereka.

“Maksudnya, perwakilan di peringkat bahagian boleh terus memilih pucuk pimpinan. Bermula dari 191 bahagian, dalam mesyuarat agung, mereka akan pilih pucuk pimpinan.

“Dijangka dalam lingkungan 30,000 hingga 40,000 ahli akan terlibat membuat keputusan dalam memilih pucuk pimpinan berbanding dengan 2,375 orang sekarang. Itu jangkaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata melalui kaedah itu, proses demokrasi akan dilihat lebih jelas dan telus serta mampu menarik lebih ramai golongan muda.

“Tujuan, apabila ada penglibatan yang lebih luas, jadi cara itu akan menjadikan proses demokrasi akan lebih jelas dan telus.

“Supaya lebih ramai ahli dapat masuk MCA dan lebih ramai ahli dari golongan muda. Mereka nak melihat satu proses demokrasi yang lebih telus dan lebih baik di MCA, maka mereka akan berkeyakinan untuk menyertai.

“Kalau kita tak buat begitu, tiada tarikan terutama golongan muda yang menerima pendidikan tinggi dan melihat kita masih pada cara yang lama, sudah tentu mereka tidak tertarik,” katanya.

Selain itu, MCA juga mahu proses pendaftaran keahlian dipermudahkan melalui atas talian.

“Kita benarkan kemasukan ahli dengan cara yang lebih lancar. Di mana kita benarkan mereka berdaftar sebagai ahli baru melalui Internet. Sebelum ini, mereka perlu memohon keahlian melalui cawangan dengan mendapat sokongan daripada pengerusi cawangan dan sebagainya.

“Kadang-kadang kita terima aduan bahawa borang permohonan mereka hilang atau tidak sampai kepada ibu pejabat MCA. Untuk elak masalah ini, boleh memohon melalui internet. Kita akan proses. Kalau kita nampak tak ada masalah, kita akan luluskan,” katanya.