Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Dijangka Siap Pada 2025 – Fadillah Yusof

MELAKA, 11 Okt – Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo melibatkan kos RM27 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 semalam dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Datuk-Fadillah-YusofMenteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lebuh raya sepanjang 1,663 kilometer itu kini di peringkat perincian kaedah pelaksanaan melibatkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) serta dijangka dimulakan pembinaannya pada tahun depan.

“Pembinaan lebuhraya ini mungkin menggunakan kaedah kerjasama awam swasta dan Kementerian Kerja Raya akan memantau pelaksanaannya.

“Kalau mengikut kaedah konvensional ia akan memakan masa sehingga 2025 baru siap dan jika mengikut kaedah kerjasama awam swasta ia akan dapat dipercepatkan pelaksanaannya,” kata beliau.

Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob ke-76 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri pada pembentangan bajet itu berkata kerajaan akan membina Lebuhraya Pan Borneo melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dengan kos pembinaan RM27 bilion.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata lebuh raya itu akan melibatkan pembinaan empat lorong tanpa tol bagi kemudahan rakyat Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata Melaka turut menerima peruntukan kira-kira RM500 juta bagi pembinaan beberapa jalan raya serta dua jejambat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri bersejarah itu.

Terdahulu, Fadillah dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ yang disempurnakan Mohd Khalil. – Bernama

Advertisements