Wanita MCA Komited Membantu Kerajaan Beri Pemahaman Berhubung Cukai Barangan Dan Perkhidmatan – Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Wanita MCA komited dalam membantu kerajaan memberi pemahaman berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan mula dilaksanakan pada April 2015.

hengwanitamca

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie di sidang media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Pergerakan Wanita MCA di ibu pejabatnya di sini, pagi tadi memberitahu beberapa perancangan telah diatur bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Wanita MCA akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam dengan menganjurkan program Hari Terbuka ‘GST Online’ di seluruh negara untuk membantu pendaftaran dengan lebih efektif.

“Kami mahu membantu kerajaan dalam melaksanakan polisi sedia ada terutamanya dalam mentransformasikan GST. Kita sedia maklum bahawa bagi semua syarikat yang ‘turn over’ RM500,000 ke atas, mereka diwajibkan di bawah akta GST untuk mendaftar GST.

“Namun mengikut rekod Kementerian Kewangan, setakat ini hanya 80,000 syarikat sahaja yang berdaftar. Bermaksud hanya 25 peratus sahaja yang melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sayap itu juga menegaskan kadar enam peratus yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap cukai berkenaan adalah sangat berpatutan dan masih di tahap rendah berbanding negara-negara luar yang lain.

Terdahulu, Wanita MCA melalui resolusi persidangan mereka menggesa mahu menurunkan kadar cukai berkenaan sehingga empat peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan penjualan runcit bagi minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Najib berkata demikian semasa membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat.

Pada 1 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

RON95 sebelum ini dijual pada harga RM2.10 seliter dan diesel pula RM2. Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20 sen.

Advertisements