Jawatankuasa PAS Pusat Gantung Saari Sungib Dan Hasnul Baharudin

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memutuskan untuk menggantung keahlian dua ADUN parti itu, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) selama setahun.

image

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata tindakan tatatertib itu diambil berdasarkan peruntukan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS.

“Laporan berhubung isu itu telah kami bentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini yang dipengerusikan Presiden.

“Berdasarkan kepada peruntukan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS, jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan mengenakan tindakan tatatertib ke atas kedua-dua orang ADUN itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, sebentar tadi.

Saari dan Hasnul sebelum ini bertindak melangkaui keputusan parti berhubung isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Kedua-dua mereka bertindak menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, sebelum parti mengeluarkan pendirian rasmi.

Namun menurut Mustafa, kedua-dua mereka berpeluang mengemukakan rayuan dalam tempoh 15 hari berkuatkuasa hari ini.

“Walaubagaimanapun kedua-dua mereka boleh merayu berdasarkan kepada Fasal 83 (4) (5) Perlembagaan PAS.

“(Mereka perlu) mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama dalam tempoh 15 hari dari tarikh ini,” katanya.

Tambah Mustafa, penggantungan tersebut tidak menjejaskan kedudukan kedua-duanya sebagai ADUN di kawasan masing-masing.

“Mereka masih ADUN dan masih ahli sebab mereka tidak dipecat.. Maknanya nak mewakili PAS apapun tak boleh lah selepas ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Hasnul ketika dihubungi pemberita berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan sedemikian dan akan membuat tindakan susulan selepas menerima surat rasmi.

Manakala Saari pula memaklumkan hanya mengetahui perkara tersebut (penggantungan) setelah dihubungi pemberita yang mahukan reaksinya.

Sama seperti Hasnul, ADUN Hulu Kelang itu akan memutuskan sebarang tindakan susulan selepas menerima surat rasmi mengenai penggantungan itu.