Skandal Seks: Menteri Masyarakat Sivil Britain Brooks Newmark Letak Jawatan

LONDON, 12 Okt – Seorang menteri Britain, Brooks Newmark yang meletakkan jawatan berikutan skandal seks cyber bulan lalu, semalam memutuskan untuk melepaskan kerusi Parlimennya pada pilihan raya umum Mei depan.

image

Newmark meletakkan jawatan sebagai Menteri Masyarakat Sivil pada 28 September, selepas menghantar gambar lucah memaparkan dirinya sebagai aktivis parti wanita kepada seorang wartawan sambilan lelaki.

Tokoh politik berusia 56 tahun itu, yang sudah berkahwin dan mempunyai lima anak, meletakkan jawatan daripada kerajaan sejurus sebelum cerita mengenainya disiarkan oleh akhbar ‘Sunday Mirror’.

Newmark, ahli Parlimen Konservatif bagi kawasan Braintree di timur London sejak 2005, menulis surat kepada pemimpin parti David Cameron bagi menyatakan hasratnya tidak mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum 2015.

“Pencerobohan media dalam episod lalu dalam kehidupan peribadi saya mengakibatkan beban berat ke atas keluarga saya. Oleh itu saya memutuskan untuk tidak bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.

“Saya tidak menuding jari kepada sesiapa tapi diri saya sendiri dan memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan saya.

“Saya akan kekal sebagai penyokong setia kerajaan ini,” katanya.

Dalam laporannya akhbar ‘Sunday Mirror’ melaporkan Newmark memuat naik sekeping gambar yang mendedahkan dirinya memakai sepasang baju tidur bercorak ‘paisley’ menerusi sebuah laman sosial persendirian. – AFP