Presiden MCA Nafi Laporan Portal Berhubung Dakwaan MCA Sokong Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan laporan sebuah portal berita dalam talian berhubung kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa masyarakat Cina tidak boleh terus membuat tuntutan terhadap Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka masih menyokong Pakatan Rakyat (PR).

image

Sebaliknya, beliau menegaskan kesemua perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-61 hari ini dengan jelas mendengar mesej yang ingin disampaikan perdana menteri itu.

“Ini memang laporan (portal dalam talian) yang songsanglah, memang suka memberi gambaran yang negatif. Kita semua berada di perhimpunan kali ini dengan jelas mendengar respon PM terhadap cadangan-cadangan MCA begitu baik dan positif dan juga menyatakan bahawa dengan jelas bahawa MCA memperjuangkan untuk peningkatan komuniti Cina dan PM berharap bahawa terus memberi sokongan kepada BN dan bukan kepada pembangkang.

“Itu saranan PM yang cukup jelas kerana beliau tahu peranan MCA sejak dahulu lagi memperjuangkan dan meningkatkan kebajikan dan juga kebaikan untuk komuniti Cina dan juga komuniti masyarakat umum di negara kita. Oleh itu, bukan seperti yang dikatakan oleh portal dalam talian tersebut,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dipetik sebuah portal sebagai berkata masyarakat Cina tidak boleh terus membuat tuntutan terhadap Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka masih menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Berucap di Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-61 hari ini, Najib berkata mereka harus berlaku adil dengan menyokong parti pemerintah dan bukannya PR.

“Saya hendak lakukan lebih lagi, mungkin satu hari nanti saya mampu buat lebih lagi. Tetapi saya juga perlukan masyarakat Cina untuk menyokong BN. Adillah. Kamu kena mainkan peranan kamu juga.

“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Buat tuntutan, kemudian sokong PR. Kamu minta (dari BN), kamu sokonglah BN, kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata Najib.

MCA mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya lepas, dengan memenangi hanya 7 daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 itu disifatkan Najib sebagai kesan “tsunami Cina”, manakala akhbar milik Umno Utusan Malaysia menyiarkan berita provokatif bertajuk “Apa lagi Cina mahu?” di muka depan.

Najib mengakui beliau masih “cuba” berlaku adil kepada masyarakat Cina walaupun terdapat hanya dua menteri MCA dalam kabinet.

Advertisements