Presiden PasMa Bidas Setiausaha Majlis Syura Ulama

SHAH ALAM, 13 Okt – Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) membidas Setiausaha Majlis Syura Ulama Nik Zawawi Salleh yang melarang ahli PAS menyertai kegiatan kumpulan itu.

image

Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan Nik Zawawi tidak berhak berkata demikian, sebaliknya hanya Jawatankuasa PAS Pusat berhak membuat keputusan membabitkan parti Islam itu.

“Beliau tidak ada hak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kuasa eksekutif.

“Jawatankuasa PAS Pusat adalah merupakan badan eksekutif yang diamanahkan oleh parti,” kata Phahrolrazi dalam satu kenyataannya hari ini.

Semalam, Nik Zawawi mewakili Majlis Syura Ulama mengeluarkan kenyataan yang dikira paling keras dari PAS terhadap badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat (PR) itu,  apabila meminta semua ahli PAS jangan melibatkan diri dengan sebarang kegiatan PasMa.

Nik Zawawi berkata, langkah itu selaras dengan peringatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-60 baru-baru ini, supaya tidak berlaku kewujudan jamaah dalam jamaah, dan parti dalam parti.

Sebelum ini, PAS Terengganu adalah satu-satunya pihak melarang ahli parti melibatkan diri dalam sebarang kegiatan PasMa.

Bagi Phahrolrazi yang merupakan bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu, PasMa adalah sebuah NGO dan bukan parti politik dan tidak terikat dengan dengan mana-mana  parti politik.

Katanya, tidak menjadi kesalahan kepada mana-mana ahli PAS menyertainya dan mengikuti sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Beliau berkata, PasMa menyediakan program pendidikan ke arah melahirkan masyarakat berfikiran terbuka, bersedia menerima pendapat dan pandangan berbeza.

“Ianya bersesuaian dengan ajaran Islam sendiri yang mengajar penganutnya untuk memberikan pandangan terbuka, menerima teguran, mengemukakan hujah.

“Islam mengajar umatnya untuk memberikan peringatan dan nasihat menasihati antara satu sama lain,” kata Pharolrazi dalam kenyataannya.

Bekas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Kedah itu berkata PasMa berusaha memperkukuhkan PR ke arah menjadi harapan rakyat Malaysia.

“Tindakan beberapa pemimpin yang menyerang parti-parti dalam Pakatan akan menyebabkan penyokong Pakatan hilang keyakinan dan kepercayaan,” katanya.

PasMa ditubuhkan selepas kecenderungan badan NGO itu terlibat dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Namun perkara itu dinafikan Phahrolrazi, dan menegaskan bahawa objektif penubuhan PasMa adalah sebagai medium untuk para penyokong meluahkan pandangan kepada parti.