Pihak Berkuasa Gunakan Pendekatan Rundingan Bagi Kes Penculikan

SHAH ALAM, 14 Okt – Pihak berkuasa terpaksa menggunakan pendekatan rundingan dan mengelak untuk membayar segala tuntutan wang tebusan yang diminta penculik, bagi memastikan kaedah sebegitu tidak diikuti penjenayah lain demi mengaut keuntungan.

image

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, jika sesebuah negara tunduk pada kehendak penculik dan membayar wang tebusan itu, maka penjenayah akan merasakan kaedah itu mudah sekaligus menjadikan aktiviti menculik sebagai kerjaya tetap untuknya menjana pendapatan.

Sehubungan itu, jika berlaku kes penculikan, kerajaan sedaya upaya untuk menyelesaikan kes itu melalui rundingan meskipun terpaksa mengambil masa yang lama.

Demikianlah yang terjadi pada anggota polis marin, Konstabel Zakia Aliep yang diculik di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lepas.

Justeru, semua pihak harus bersabar dan tidak terus menghukum anggota keselamatan yang bertungkus-lumus mahu menyelamatkan Zakia.

“Kalau bayar sekarang (penculikan ini), (kerajaan) akan kena bayar (penculikan) seterusnya.

“Kita tidak boleh membenarkan penculikan sebagai satu perniagaan dalam kata lain, jika penculikan berteraskan duit, maka sekiranya kumpulan-kumpulan atau pihak tertentu mengetahui ianya merupakan satu jalan yang menguntungkan maka mereka akan menjadikan itu sebagai sumber pendapatan,” jelasnya.

Tambahnya, kejadian yang menimpa Zakia itu dilihat memakan masa kerana Jabatan Keselamatan Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA) terpaksa bermain tarik tali dengan penjenayah itu namun dalam masa yang sama memastikan keselamatan Zakia terjamin.

“Ada kalanya kes-kes yang melibatkan penculikan ini diselesaikan dengan mudah ada juga yang memerlukan sedikit masa.

“Sebab itulah pihak berkuasa di mana-mana akan menggunakan pendekatan yang berbeza dan semua ini adalah bertujuan mengadakan rundingan supaya tidak dilihat sebagai satu tukar ganti perniagaan,” tegasnya.

Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Senior DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata rundingan sebelum ini menemui jalan buntu kerana kumpulan penculik menuntut wang tebusan yang tinggi antara RM3 juta hingga RM10 juta.

Fuad juga percaya Zakia berada dalam keadaan sihat dan selamat berdasarkan 82 panggilan telefon kepada isterinya.

Zakia kini dipercayaia berada di lokasi pedalaman selatan Filipina bersempadanan dengan Sabah.