Oktoberfest Bukti DAP Tidak Peka Terhadap Sensitiviti Orang Islam

SHAH ALAM, 15 Okt – Meskipun isu Oktoberfest 2014 tidak sehangat isu rampasan kitab Bible yang berlaku Januari lalu, ia tetap mendedahkan ketidakpekaan DAP terhadap isu yang boleh menggugat sensitiviti penganut agama Islam di negara ini.

image

Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Kuliyyah Sains Kemanusian UIAM, Dr Baharuddin Aziz berkata, secara tidak langsung, percanggahan pendapat antara pemimpin DAP dan PAS berhubung isu berkenaan akan membibitkan keretakan hubungan kedua-dua parti dalam gagasan pembangkang itu.

“Bila kedegilan itu berlaku, ini akan sedikit sebanyak, dengan wujudnya media sosial, akan meretakkan lagi pertalian DAP dan PAS. Ini boleh mendatangkan aib juga,” katanya.

Pesta tersebut yang kemuncaknya berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober lalu itu mengundang kritikan ramai pihak, khususnya pemimpin PAS yang menyifatkan penganjurannya sebagai gagal memahami sosiobudaya dan sensitiviti agama penduduk di negara ini.

Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengkritik penganjuran pesta kontroversi tersebut dan menyifatkan tiada agama yang menggalakkan penganutnya berfoya-foya dan melakukan aktiviti tidak berakhlak.

“Tanya sami, tanya paderi, saya rasa mereka pun tidak bersetuju. Sebab itu perlu tapis,” kata Hadi.

Namun, dalam pada itu PAS menyuarakan bantahan, pemimpin DAP pula dilihat seolah enggan mempedulikan bantahan tersebut malah menghadiri pesta berkenaan sebagai tanda sokongan.

Antara pemimpin tertinggi yang hadir termasuklah penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua; Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok; Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Sivarasa Rasiah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing; Rajiv Rishyakaran; Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Exco Pelancongan Selangor, Elizabeth Wong.

“Kenapa kita kena buat sesuatu yang melanggar tata susila, agama kita. Tak payah buat pun tak apa,” kata Baharuddin lagi.

Sekalipun mendapat permit dan mengikut garis panduan yang ditetapkan kata Baharuddin, penganjuran Oktoberfest dan perayaan seumpamanya seperti Hari Kekasih, Hari Halloween dan sebagainya bukanlah sesuatu yang perlu diberi pengiktirafan dan dirayakan seperti mana negara Barat.

Namun jika terdapat pihak yang masih melihat penganjuran pesta sedemikian ‘perlu’ diraikan, maka penganjurannya harus benar-benar diteliti dan mengambil kira sensitiviti penganut agama Islam.

“Jalan tengah atau jalan keluar ialah buat di premis atau kelab persendirian,” katanya.

Advertisements