Lim Guan Eng Tiada Kuasa Terhadap Isu Keselamatan Dan Pertahanan Negara

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak mempunyai kuasa terhadap isu keselamatan dan pertahanan negara, tegas Menteri Dalam Negeri.

image

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, kuasa menjaga hal ehwal keselamatan mana-mana bahagian di negara ini terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Ketua menteri atau menteri besar memang Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri…itu betul dan itu fakta.

“Tetapi soal pertahanan dan keselamatan terletak di bawah kuasa polis negeri, panglima divisyen atau panglima briged yang jaga kawasan itu. Bukan hak ketua menteri dan menteri besar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang mempersoalkan hak Lim menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang.

Selain itu dalam nada sinis Ahmad Zahid turut berkata, beliau tidak terfikir jika Lim bercadang menubuhkan sebuah pasukan tentera laut khas di negeri itu.

“Saya tidak fikir Pulau Pinang mahu menubuhkan pasukan Tentera laut Diraja Pulau Pinang sendiri, kerana merasakan bahawa negeri itu dikelilingi laut.

“Selain itu tentulah Yang Berhormat Lumut (Mohamad Imran) juga tidak layak jadi ahli atau panglima tentera laut Pulau Pinang…umpamanya,” katanya.

Malah Ahmad Zahid turut menempelak Mohamad Imran yang juga bekas anggota keselamatan kerana cuba mempertahankan Lim.

“Kita tahu bahawa di dalam negara, soal keselamatan dan pertahanan  adalah bidang kuasa yang dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jadi jika ada mana-mana pihak kerajaan negeri mahu mengambil alih kuasa yang dipunyai oleh kerajaan persekutuan, maka ianya adalah di luar undang-undang.

“Itu Yang Berhormat harus tahu, sebagai bekas Pegawai TLDM, harus tahu hal itu, jangan kelirukan Dewan ini,” katanya.

Pada 31 Ogos lalu, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas pertubuhan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sehari selepas itu, polis menahan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Delima, RSN Rayer manakala timbalan pasukan itu yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik pada hari berikutnya.

Advertisements