Tamrin Umum Keluar PAS

SHAH ALAM, 16 Okt – Tindakan Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghaffar yang mengumumkan keluar daripada PAS semalam dipercayai untuk memberi iktibar kepada parti Islam itu untuk melakukan perubahan, demikian menurut penganalisis politik Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

image

Beliau berpendapat anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu mungkin merasakan sebilangan tindakan parti Islam dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini seolah-olah kurang ‘wajar’.

“Orang yang baru menyertai PAS, sudah pasti soal kesetiaannya tidak sekukuh jika dibandingkan dengan ahli-ahli parti yang lain. Namun bagi orang seperti Tamrin mungkin merasakan ada keperluan untuk menzahirkan ketidakpuasan itu kepada PAS.

“Sebagai seorang ahli politik veteran, Tamrin merasakan bahawa jika bertindak begitu, paling kurang PAS perlu dengar apa yang beliau nak perkatakan. Jika tidak, tiada guna beliau menyertai PAS atau parti-parti politik yang jauh dari beliau,” katanya.

Tamrin semalam menghantar surat kepada setiausaha agung PAS untuk menarik diri dari menjadi ahli parti Islam itu.

Keputusan berkenaan diambil Tamrin setelah kecewa dengan tindakan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat menggantung keahlian dua ADUN parti itu, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) selama setahun akibat menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, ketika isu jawatan nombor satu negeri itu sedang memuncak.

Bukan itu sahaja, keengganan PAS memenuhi janji pilihan raya juga menjadi punca beliau meninggalkan parti itu.

Tamrin mendakwa beberapa isu lain berkaitan parti pernah disuarakan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin yang lain, namun tidak pernah diambil perhatian.

Mengulas lebih lanjut, Shaharuddin merasakan kehendak politik Tamrin mungkin tidak ‘kena’ dengan perjuangan parti Islam itu.

“Tamrin menyertai PAS dalam suasana sebelum PRU-13. Dan beliau menyertai PAS atas dasar terdapat keterbukaan parti itu dan bersikap inklusif.

“Jadi apabila beliau mengambil keputusan keluar dari PAS, ia mungkin atas perkara yang besar, yang mungkin pada pandangannya boleh mempengaruhi kelompok sederhana di dalam PAS,” demikian menurut Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu.

Tamrin, ketika ditemui semalam di pelancaran kempen Gerakan Anti Perkauman (GAP) menafikan tindakan keluar parti itu sebagai cubaan mempengaruhi ahli-ahli PAS lain untuk mengikut jejak langkahnya.

Beliau mendakwa mahu lebih fokus kepada GAP dan memerhatikan perjalanan dunia politik serta bebas bersuara sebagai rakyat awam.

Advertisements