Delegasi PKR Ke Australia Untuk Raih Sokongan Kes Liwat Ketua Pembangkang

SHAH ALAM, 17 Okt – Satu delegasi pimpinan PKR kini berada di Australia bagi lawatan kerja selama seminggu untuk memberi maklum balas kepada ahli-ahli Parlimen Australia mengenai perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendakwaan terhadap pelbagai aktivis di bawah Akta Hasutan.

image

Siri lawatan kerja ini disertai oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad dan empat Ahli Parlimen serta ADUN parti itu.

Mereka akan mengadakan road show di Melbourne, Adelaide, Perth, Canberra dan Sydney.

Selain berjumpa dengan Ahli Parlimen Australia, perwakilan PKR itu juga akan menemui wakil badan-badan hak asasi manusia iaitu Human Rights Watch, Amnesty International dan Australian Lawyers for Human Rights, kata Rafizi.

Beliau menyifatkan perjumpaan dengan wakil-wakil Australia itu penting dan akan diperluaskan ke negara-negara lain.

Pada 28 Oktober Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Anwar terhadap hukuman penjara tahun kerana disabit kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Mahkamah tertinggi itu juga akan mendengar rayuan balas Peguam Negara untuk menambah hukuman penjara itu.

Anwar, 67, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kepada Anwar atas pertuduhan berkenaan.