Mahkamah Sesyen Tetapkan 14 November Sebutan Semula Kes R.S.N Rayer

GEORGE TOWN, 17 Okt – Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat menetapkan 14 Nov untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) R.S.N Rayer yang didakwa atas dua pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades Jelutong, di sini Mei lepas.

image

Hakim Mahkamah Sesyen 1 Zaharah Hussain menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Rayer, Gobind Singh Deo yang memohon mahkamah menunggu keputusan kes pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom yang merujuk kes hasutan yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Gobind berkata pihak pembelaan mahu mengemukakan permohonan sama seperti kes Dr Azmi yang dibangkitkan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Pengadilan 1964.

“Saya mohon isu berbangkit seperti kes Dr Azmi Sharom di Kuala Lumpur yang memohon untuk mendapatkan perintah supaya Mahkamah Sesyen merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi menentukan sama ada Seksyen 49(1) Akta Hasutan 1948, berperlembagaan atau sebaliknya.

“Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan kes Dr Azmi ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 Nov ini. Jadi, saya ingin memohon permohonan sama bagi kes ini,” katanya pada prosiding sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2 hakim Zulhazmi Abdullah turut membenarkan permohonan Gobind dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Kesemua pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib.

Pada 27 Ogos lepas, Rayer mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima Island Glades, Jelutong di sini pada pukul 10 malam, 22 Mei lepas.

Untuk kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan.

Rayer turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli Umno dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam, di tempat dan pada masa serta tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rayer yang juga seorang peguam turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei lepas.

Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisements