Perlaksanaan Akta Hasutan 1948 Ikut Garis Panduan

KUCHING, 18 Okt – Tindakan mahkamah yang dikenakan kepada mana-mana individu di bawah Akta Hasutan 1948 telah melalui proses mengikut garis panduan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

image

Beliau berkata, polis dan Jabatan Peguam Negara cukup profesional dalam melaksanakan tugasan mereka, justeru itu dakwaan bahawa undang-undang tidak dilaksanakan dengan adil adalah tidak tepat.

“Sebaik menerima laporan, polis akan membuat penyelidikan (siasatan) mengikut undang-undang selepas itu kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara. Jika cukup bukti dan saksi, Peguam Negara akan membawa kes itu ke mahkamah untuk pertuduhan dan tertuduh ini pula layak mendapat bantuan peguam.

“Proses pelaksanaan undang-undang ini sama sahaja diamalkan di Australia, England, Eropah malahan Amerika Syarikat. Proses undang-undang dilaksanakan sepenuhnya di negara ini…tidak terjejas, jadi bagaimana pula dakwaan berlaku ketidakadilan?” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) peringkat Parlimen Santubong, di Dewan Produktiviti MPC hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia semalam mengingatkan Malaysia agar memansuhkan Akta Hasutan 1948 seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2012.

Wan Junaidi berkata, pihak Kedutaan Amerika Syarikat seharusnya mendengar pandangan semua pihak termasuk Kerajaan Malaysia daripada hanya mendengar pandangan Majlis Peguam, tindakan salah yang akhirnya akan dijadikan fakta untuk mendesak Kerajaan Malaysia.

“Pada 2012 apabila Perdana Menteri berjanji memansuhkan Akta Hasutan 1948, beliau telah memansuh enam undang-undang darurat termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun apabila ISA dimansuh, timbul pula masalah yang dilakukan oleh bekas-bekas tahanan ISA itu.

“Masyarakat mendesak kerajaan supaya jangan terburu-buru untuk tarik balik undang-undang yang dirasakan mempertahankan negara termasuk Akta Hasutan 1948 ini. Sebagai ketua negara, Perdana Menteri perlu mendengar luahan rakyat ini,” katanya.

Beliau berkata, apabila tiba masanya kerajaan akan mengotakan janji, memansuhkan akta ini dan digantikan dengan akta lebih baik dan moden seperti dijanjikan iaitu Akta Keharmonian Nasional.

Wan Junaidi berkata, sebaiknya Amerika Syarikat tidak mencampuri urusan Malaysia kerana ia juga mempunyai rekod buruk dalam mempertahankan hak asasi manusia.

“Amerika Syarikat tidak mempunyai ‘moral standing’ untuk beritahu Malaysia mansuhkan Akta Hasutan. Di sana (Amerika Syarikat) ada Akta Patriot yang jauh lebih ketat.

“Rekod hak asasi mereka pun bukannya baik sangat, kita tengok apa berlaku di penjara Teluk Guantanamo. Kenapa tidak beri tekanan kepada Israel yang jelas melakukan kekejaman terhadap penduduk Palestin” katanya.

Advertisements