‘Barua Dan Broker’ Pembawa Rebah Dalam Politik

Isu dan watak ‘Barua dan Broker’ telah menjadi tajuk perbualan dan perdebatan panas ketika muktamar Pas yang telah diadakan baru-baru ini.

image

Watak ‘Barua dan Broker’ bukan hanya wujud dikalangan ahli Pas sahaja. Malah watak tersebut telah lama wujud serta menular dikalangan ahli politik tanahair.

Apa yang lebih menarik dengan watak ‘Barua dan Broker’ ini adalah mereka akan sentiasa mengiyakan apa sahaja bentuk serta pandangan yang dilemparkan oleh pemimpin demi untuk menjaga ‘periuk nasi’ supaya terjamin demi survival hidup mereka.

Malah watak ‘Barua dan Broker’ ini juga turut dilakonkan oleh segelintir agamawan politik yang merasakan diri mereka maksum dari sebarang bentuk kesilapan dan kesalahan.

SINOPSIS WATAK ‘BROKER DAN BARUA’

Watak ‘Barua & Broker’

Watak ‘Barua dan Broker’ seringkali dilakonkan oleh ‘penjilat’ yang sentiasa mencari ruang dan peluang dengan memainkan peranan sebagai ‘pembodek’ tegar.

Watak ini juga kebanyakannya dilakonkan oleh mereka yang hanya memandang hasil bumi dan harta karun yang ingin dimiliki dengan cara hanya mengampu.

Bos, beres bos, ditanggung beres bos…. inilah antara kata-kata yang sering kita dengar di mana-mana sahaja sama ada di pejabat, kilang, padang bola atau kedai kopi.

Semuanya bercakap dalam nada yang sama. Bukan semua orang tetapi segelintir kecil yang ada agenda tersendiri atau muslihat yang tersembunyi.

Apakah maksud sebenar di sebalik tutur kata itu? Adakah orang yang bercakap itu benar-benar mampu melaksanakan apa yang diminta atau sekadar mahu menyedapkan hati orang atasannya.

Ada yang berkata demikian di depan bos tetapi kerja atau misi yang diarahkan masih gagal dilaksanakan dengan baik. Hanya pandai cakap tetapi tidak tahu buat kerja – sungguhpun begitu masih dianggap cemerlang dalam tugas harian mereka.

Kebiasaannya orang dalam kategori ‘Barua dan Broker’ ini hanya pandai bercakap atau bermuka-muka. Ini bukanlah fenomena baru tetapi berlaku sejak dari dahulu lagi. Cuma gaya atau trend sahaja yang berbeza tetapi matlamatnya masih sama.

Perkara yang sama juga lebih kerap berlaku dalam politik. Saya pernah berbual dengan orang politik sama ada dari pihak pemerintah atau pembangkang.

Sama saja perangai kumpulan pembodek dan pengampu dari kalangan ‘Barua dan Broker’ ini bagi kedua-dua belah pihak.

Depan bos semua boleh tetapi di belakang ceritanya lain. Bak kata orang tua-tua dahulu, depan bos pijak semut pun tak mati.

Tetapi kalau belakang bos, bukan sahaja semut tetapi gajah pun boleh mati kalau kena pijak dengan golongan ‘Barua dan Broker’ ini.

Pernah kawan saya dari komponen yang memerintah Pulau Pinang sekarang ini beritahu, ada pemimpin sebuah parti yang sering tidak bersetuju dengan pemimpin komponen lain.

Kalau di belakang bukan main rancak mereka kutuk dan cakap macam-macam tetapi bila di depan mata, lidah kelu seribu bahasa. Hanya mereka yang tahu sebabnya.

Mereka ini hanya berani di belakang sebab sembang sesama mereka kerana orang luar tidak dengar. Lebih seronok, lepas kutuk melepaskan geram, mereka boleh ketawa sesama ahli kumpulan.

Saya mempunyai pengalaman dalam beberapa insiden apabila nak dapatkan komen mengenai isu tertentu mereka tidak berani nak cakap.

Ada yang sebelum itu menjadi hero dan apabila beritanya keluar dalam akhbar,  terus menyepi selepas itu.

Alasan standard orang politik ‘sori, ada meeting atau ada urusan di luar kawasan’. Ada juga yang tidak berani langsung menjawab telefon walaupun berdering.

Hal sama tidak terkecuali dengan ahli dan pemimpin pembangkang di Pulau Pinang. Ada yang bila bersembang dengan sinis menyindir pemimpin tertentu dengan pelbagai ungkapan dan sindiran.

Tetapi apabila berbual dengan pemimpin terbabit, semuanya mengangguk tanda setuju dan tiada langsung indikator bahawa mereka tidak pernah membantah.

Sampai bila nak berdepan dengan keadaan seperti ini? Makin lama makin menjadi-jadi dan ia boleh berlaku di mana-mana sahaja demi survival diri sendiri.

Mengimbas kembali sejarah hitam Datuk Harris Salleh dari parti Berjaya yang berjaya memerintah Sabah melebihi satu dekad pada tahun 1980-an selepas kejatuhan parti Usno pimpinan Tun Datu Mustapa Datu Harun.

Ketika menjadi ketua menteri Sabah, Harris sentiasa dikelilingi oleh kaki pengampu ‘Barua dan Broker’ atau ‘yes bos’ yang sentiasa memberi maklumat yang baik sahaja kepadanya.

Semua masalah atau perkara buruk disorok dari pengetahuan tuannya. Akhirnya Harris beranggapan pentadbirannya diterima ramai dan masih mendapat sokongan rakyat.

Akhirnya beliau membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya peringkat negeri Sabah dengan berkeyakinan terus mengekalkan kuasa.

Amat malang akibat menerima maklumat palsu dari tukang tilik ‘Barua dan Broker’ dan punah sihat, Harris tersungkur dari politik dan kalah teruk dalam pilihan raya itu kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kittingan. Lebih malang lagi parti Berjaya gagal meraih sebarang kerusi.

Kalau tidak silap saya, selepas 10 tahun bersara dari politik Sabah, dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar, Harris mengaku tersilap membuat perhitungan kerana terlalu percaya kepada ‘Barua dan Broker’ yang akhirnya membawa rebah.

Tetapi sudah terlambat untuk berpatah balik.

Mungkin kejadian yang menimpa parti Berjaya boleh menjadi iktibar kepada kita semua agar tidak menaruh sepenuhnya kepercayaan kepada ‘Barua & Broker’ di sekeliling kita yang kebanyakannya hanya mencari makan untuk survival mereka sahaja, terutama dalam politik.

Kepada yang suka mengampu, cukup-cukuplah menggunakan orang lain untuk kepentingan peribadi.

Adakah kita mahu terus hidup dengan bermuka-muka atau dengan istilah sekarang dalam keadaan hipokrit.

Makin ramai yang hidup dalam keadaan sedemikian semata-mata untuk menjaga kedudukan yang tidak kekal.

Bila mati semuanya kita tinggal dan hanya bawa kain kafan dan amal yang soleh sebagai teman dalam kubur.

Advertisements