Penganjur Program ‘I Want To Touch A Dog’ Sengaja Sentuh Sensitivit Umat Islam

SHAH ALAM, 20 Okt – Penganjuran program ‘I Want To Touch A Dog’ (saya mahu sentuh anjing) semalam yang turut menggamit kehadiran pengunjung dari kalangan umat Islam, disifatkan sebagai sengaja ingin mencetuskan provokasi terhadap sensitiviti penganut agama majoriti di negara ini.

image

Naib Presiden (II) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Fauzi Asmuni dalam pada itu turut mempertikaikan objektif penganjuran program tersebut yang dikatakan ingin menghilangkan kebimbangan dan persepsi negatif terhadap anjing, terutamanya di kalangan umat Islam.

Kata Fauzi, jika itu tujuan sebenar program berkenaan, terdapat alternatif lain lagi yang boleh dilakukan dan dianjurkan, misalnya dalam bentuk bengkel, dan tanpa perlu menggunakan pendekatan sedemikian.

“Walaupun dia menggunakan hujah bahawa menyentuh najis tidak haram, tapi mana orang buat pesta menyentuh najis secara beramai-ramai dengan sengaja.

“Bila kita sebut menyentuh najis, Islam ada satu kaedah, macam yang disebut dalam Al-Quran, iaitu Allah suka orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri.

“Jadi orang Islam sepatutnya sentiasa berada dalam keadaan yang suci. Jadi maknanya, berada dalam keadaan yang suci, kita diajar cara membersihkan najis bila tersentuh najis… bukan maknanya dengan sengajanya boleh menyentuh najis suka-suka,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh individu beragama Islam, Syed Azmi Alhabshee itu dikatakan menarik hampir 800 pengunjung, dengan sebahagiannya penganut Islam.

Dalam program di mana pengunjung bebas menyentuh dan berinteraksi dengan haiwan itu juga, ia dimulai dengan ceramah agama oleh Mohd Iqbal Parjin, 33, seorang guru agama dan pelajar sarjana di Pusat Lanjutan Pengajian Islam, Sains dan Tamadun, berkaitan Islam dan anjing.

Pengunjung, khususnya yang beragama Islam kemudiannya diberi tunjuk ajar tentang bagaimana untuk membersihkan diri mereka mengikut ajaran-ajaran Islam (samak) selepas menyentuh anjing.

Mengulas berhubung perkara berkenaan, Fauzi dalam pada itu turut mempertikaikan cara penyucian yang dilakukan kerana berpendapat ia tidak bersifat menyeluruh.

“Ada sesetengah daripada mereka memegang, memeluk dan mula mencium anjing, lepas itu kita tengok mereka bersihkan tangan saja. Baju dan tudung mereka tidak bersihkan, sedangkan itu tersentuh. Ia satu beban pula untuk menyucikan semua itu, beban yang tak sepatutnya ditanggung, ia beban yang sengaja diada-adakan,” ujarnya.

Fauzi dalam pada itu mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan pendekatan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin menduga pemikiran dan tahap sensitiviti mereka, yang secara tidak langsung boleh menjerumuskan ke dalam perkara yang lebih buruk.

“Bila umat Islam ini terhakis sensitivitinya, maka mereka (penganjur) akan buat benda yang lebih besar daripada itu,” ujarnya lagi.

Malah bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadut turut menyifatkan program berkenaan sebagai satu percubaan untuk menghina ulama dan pihak berkuasa agama.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) itu berkata, perbuatan menyentuh anjing secara sengaja adalah haram kerana ia merupakan najis berat iaitu najis mughallazah yang dipandang secara serius dalam mazhab Shafie dan Hanbali.

“Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini.

“Perkara ini dilarang kerana tiga perkara iaitu agama, kesihatan dan budaya yang bercanggah dengan Islam. Perlu diingat di Malaysia kita berpegang teguh kepada mazhab Shafie,” katanya.