Joko Widodo Angkat Sumpah Sebagai Presiden Indonesia Ke Tujuh

JAKARTA, 21 Okt – Joko Widodo secara rasminya telah diangkat menjadi Presiden baharu Indonesia yang ketujuh selepas majlis mengangkat sumpah jawatan itu diadakan semalam.

image

Joko, 53, yang mesra dengan panggilan Jokowi mengambil alih pentadbiran daripada Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat tempoh pentadbiran selama dua penggal.

Jokowi telah menewaskan Prabowo pada pilihan raya presiden Julai lalu.

Turut mengangkat sumpah pelantikan jawatan pada majlis di Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR) di sini ialah Jusuf Kalla sebagai Naib Presiden.

Gandingan Jokowi-JK (Jusuf Kalla) akan memimpin negara dengan penduduk seramai 250 juta itu selama tempoh lima tahun sehingga 2019.

Prabowo turut hadir pada majlis pelantikan itu dan bangun tanda hormat ketika kehadirannya diumumkan.

Seramai 18 orang kenamaan asing dan enam ketua negara dan kerajaan hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Upacara mengangkat sumpah jawatan itu turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.

Widodo, yang sebelum ini Gabenor Jakarta memenangi pilihan raya presiden pada Julai lalu dengan kelebihan 53 peratus undi.

Bekas jurujual perabot itu mencatat sejarah kerana menjadi presiden pertama yang bukannya berasal daripada golongan ahli politik terkenal, ahli perniagaan dan ketua tentera elit negara itu.

Sementara itu kain pemidang direntang di tepi jalan raya menuju bangunan DPR dengan kata-kata ucapan tahniah kepada Jokowi-JK.