Program Penjagaan Anak Yatim Lebih Baik Dari Sentuh Anjing – Pemuda PAS

PETALING JAYA, 21 Okt – Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abd Hadi menyifatkan adalah lebih baik jika umat Islam berkempen tentang penjagaan anak yatim berbanding menjalankan program seperti ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung baru-baru ini.

image

“Daripada sibuk berkempen sentuh anjing lebih baik buat kempen sapu kepala anak yatim.

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap”,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook hari ini.

Malah menurut anak kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini, beliau mengakui di dalam al-Quran ada memberitahu tujuan binatang itu dipelihara bukan untuk dibelai tapi digunakan untuk tujuan tertentu.

“Di dalam Al-Quran pun Allah menceritakan kisah ashabul kahfi yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka.

“Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun (dipelihara) membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri,” ujar beliau lagi.

Program yang berlangsung semalam di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, dikecam ekoran tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Naib Presiden (II) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Fauzi Asmuni berkata ia sengaja diadakan bagi mencetus provokasi terhadap sensitiviti penganut agama majoriti di negara ini.

Malah beliau mempertikaikan objektif penganjuran program tersebut yang dikatakan ingin menghilangkan kebimbangan dan persepsi negatif terhadap anjing, terutamanya di kalangan umat Islam.

“Walaupun dia menggunakan hujah bahawa menyentuh najis tidak haram, tapi mana orang buat pesta menyentuh najis secara beramai-ramai dengan sengaja.

“Bila kita sebut menyentuh najis, Islam ada satu kaedah, macam yang disebut dalam Al-Quran, iaitu Allah suka orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri.

“Jadi orang Islam sepatutnya sentiasa berada dalam keadaan yang suci. Jadi maknanya, berada dalam keadaan yang suci, kita diajar cara membersihkan najis bila tersentuh najis… bukan maknanya dengan sengajanya boleh menyentuh najis suka-suka,” katanya.

Advertisements