Perspektif Negara Maju

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengistiharkan Wawasan 2020 pada tanggal 28 Februari 1991.
image

Wawasan 2020 adalah satu wawasan yang menterjemahkan hasrat rakyat untuk meletakkan kedudukan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju di mata dunia.

Kini tahun 2020 hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi untuk ia digapai, persoalannya disini ialah, adakah kita benar-benar sudah memahami apa itu negara maju dan apakah kriteria untuk menjadi sesebuah negara itu maju?
Walaupun tidak ada kriteria tertentu untuk dijadikan asas menentukan sesebuah negara maju, namun kriteria berikut seringkali diutarakan sebagai petunjuk kepada kedudukan sesebuah negara maju.

Kriteria tersebut ialah:

i. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

ii. Indeks Pembangunan Manusia (HDI)

iii. Pendapatan Per Kapita

iv. Taraf Hidup yang Tinggi

v. Kuasa Beli (PPP)

Terdapat beberapa agensi yang telah menentukan kriteria sesebuah negara maju seperti Pertubuhan Bagi Kerjasama Dan Pembangunan Ekonomi(OECD), Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).

Penilaian yang digunapakai oleh mereka dalam menentukan sesebuah negara maju turut berbeza.

Mengikut Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), untuk menjadikan sesebuah negara itu diiktiraf sebagai sebuah negara maju, terdapat lima aspek penting meliputi ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran perlu dipenuhi.

Lima aspek penting itu meliputi 32 indikator yang telah ditetapkan oleh OECD.

Manakala Bank Dunia pula menggunakan hasil pendapatan negara kasar per kapita sebagai indikator utama untuk menentukan sesebuah negara maju.

Bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula kaedah menentukan negara maju adalah berdasarkan wilayah dimana mereka mengkategorikan negara maju berdasarkan wilayah yang maju.

Namun sejuahmana tepatnya kriteria yang ditentukan oleh ketiga-tiga agensi ini masih boleh dipertikai kerana maksud atau istilah negara maju itu sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada sesebuah negara.

Oleh yang demikian, kita bebas untuk memilih kriteria yang bagaimana diperlukan oleh rakyat dan kerajaan untuk menjadi sebuah negara maju.

Menjadi sebuah negara maju adalah idaman setiap kerajaan yang memerintah negara-negara di dunia ini.

Justeru usaha dan perancangan yang strategik perlu dilaksanakan dalam memastikan usaha tersebut tercapai.