Tidak Ada Kompromi Terhadap Ahli Politik Yang Terlibat Dengan Jenayah

LUMUT, 23 Okt – Kerajaan Negeri Perak tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak termasuk ahli politik yang didapati terlibat dengan kegiatan jenayah, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

image

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan terdapat ahli politik di negeri ini terlibat kegiatan jenayah.

“Kerajaan negeri tidak pernah menyembunyikan apa-apa perkara kerana soal keselamatan merupakan perkara yang serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali Pembantu Khas Menteri Besar Datuk V.Elango pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu Pekan Kuala Sepetang, BaganPanchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.

Berhubung laporan sebuah akhbar baru-baru bahawa kawasan perkampungan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Kuala Sangga di negeri ini dikuasai kumpulan mafia yang melakukan pelbagai kegiatan jenayah, Zambry berkata laporan itu perlu dibuktikan.

Pada Selasa, Polis Perak menafikan dakwaan wujudnya kegiatan kumpulan mafia yang bermaharajalela di kawasan terbabit.