Azhar Idrus Mengelak Daripada Berjumpa Petugas Media

SHAH ALAM, 24 Okt – Susulan gambar dan video lucah mirip wajahnya tersebar, pendakwah bebas terkemuka, ustaz Azhar Idrus (UAI) dikatakan enggan menemui pihak media bagi memberikan sebarang ulasan lanjut.

image

Malah petugas media di Terengganu yang menunggunya di Masjid Taqwa, Kuala Terengganu sejak jam 8 malam tadi hampa apabila UAI enggan menemui mereka.

Portal berita MyMetro melaporkan UAI cuba mengelak daripada berjumpa petugas media dengan keluar melalui pintu belakang masjid lalu bergegas ke rumah seorang penduduk berdekatan sebaik selesai menunaikan solat Isyak.

Kelihatan anggota unit amal PAS dan penyokong beliau mengawal rumah tersebut bagi mengelakkan petugas media masuk, malah mereka turut diminta beredar dan dimaklumkan bahawa UAI enggan memberikan sebarang komen.

Semalam, pelayar internet dikejutkan dengan penyebaran gambar dan video seks seorang lelaki mirip UAI yang dimuatnaik di blog ‘1cilipadi.blogspot.com’.

Pembantu UAI, Zulkifli Wahab kemudiannya tampil dengan kenyataan media pada sebelah petang.

Zulkifli menafikan individu dalam video itu adalah UAI sambil menyifatkan penyebaran video itu jelas usaha terancang pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan bukan sahaja UAI, malahan juga golongan ulama di negara ini.

Zulkifli mendakwa ia perbuatan mereka yang tidak suka melihat masyarakat semakin mendekati majlis ilmu agama, selain tidak menolak kemungkinan ia disebarkan oleh pihak yang ‘kurang senang’ dengan kenyataan UAI berhubung program kontroversi I Want To Touch A Dog.