Persatuan Peguam Syarie Sokong Hasrat Kerajaan Kelantan Penjarakan Individu Tinggal Solat Jumaat

SHAH ALAM, 25 Okt – Persatuan Peguam Syarie Malaysia menyokong hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukuman penjara ke atas lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat tanpa perasaan segan.

image

Timbalannya, Roshdan Rafie, berkata, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 memperuntukkan denda sebanyak RM1,000 serta penjara selama setahun bagi kesalahan berkenaan.

“Kita lihat sendiri apabila hari Jumaat, lelaki Islam ramai di pusat beli-belah dan kedai-kedai makan tanpa segan silu tidak menunaikan kewajipan menunaikan solat Jumaat,” katanya dipetik Sinar Harian.

Roshdan berkata, kerajaan Kelantan tidak mempunyai masalah untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat.

Masyarakat juga katanya perlu mengubah perspektif negatif berhubung hukuman seperti dinyatakan dalam enakmen itu kerana sebarang hukuman yang bakal dikenakan mengikut prosedur betul.

“Bila mendengar dipenjarakan selama setahun, semua ingat bila ditangkap terus dimasukkan dalam penjara. Itu semua tanggapan salah. Sebelum dikenakan hukuman, individu yang didapati bersalah boleh mengemukakan bukti dan membela diri.

“Undang-undang ini tegas tetapi tidak kejam kepada orang Islam kerana dalam agama Islam telah dinyatakan tentang kesalahan serta dosa orang yang meninggalkan solat Jumaat,” katanya.

Malah katanya, negeri lain juga patut mencontohi kerajaan Kelantan dalam melaksanakan hukuman atas kesalahan tersebut.

Ketika diminta mengulas tindakan kumpulan peguam Lawyers for Liberty yang menyatakan tindakan Kerajaan Kelantan itu bertentangan dan melanggar perlembagaan negara berkaitan kebebasan individu, Roshdan berkata, peraturan dalam Islam tidak patut dipertikaikan tanpa memahami agama itu.

“Jangan cuba menjadikan agama sebagai bahan politik. Islam itu mudah dan tidak menindas umatnya,” katanya.