Rafizi Guna Strategi Terakhir Burukkan Nama Baik Negara – Profesor Atory

SHAH ALAM, 25 Okt – Tindakan PKR yang berterusan dengan memburukkan kerajaan Malaysia di luar negara adalah strategi terakhir parti itu untuk menyelamatkan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dikenakan hukuman penjara, kata penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

image

Katanya, tindakan itu dilakukan untuk meyakinkan pihak luar bahawa kerajaan memerintah sering tidak berlaku adil terhadap pembangkang.

“Saya yakin dia (Rafizi) cuba sedaya upaya mempengaruhi kerajaan Australia setidaknya mereka akan mendengar perkara seperti ini.

“PKR ini pada pandangan saya ibarat orang yang sudah lemas. Apa sahaja cara menyelamatkan diri akan digunakan,” katanya.

Selepas menuduh kerajaan Malaysia membantu membiakkan sikap Islam radikal di Malaysia, kini bekas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengambil kesempatan meraih simpati untuk Anwar dengan menuduh kerajaan Malaysia tidak adil dalam isu pendakwaan yang hanya disifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Malah bukan itu sahaja, Rafizi turut menyalahkan kerajaan sebagai punca imej buruk Malaysia dengan menggunakan isu agama dan kaum untuk kepentingan politik serta melakukan pendakwaan terpilih.

Beliau juga mendakwa kerajaan masih meneruskan salahguna saluran undang-undang untuk menekan pemimpin Pakatan Rakyat.

Atory yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Rafizi sebagai wakil rakyat juga seharusnya sedar tindakannya itu tidak wajar dan dilihat sengaja ingin menjatuhkan nama baik negara.

“Seorang warganegara yang baik tidak kira sama ada pembangkang ataupun pemerintah memang tidak sepatutnya memburuk-burukkan Malaysia di luar negeri. Tidak boleh begitu,” tambahnya.

Baru-baru ini Rafizi mengetuai delegasi pemimpin PKR di Australia bagi lawatan kerja seminggu dipercayai untuk cuba meraih perhatian ahli parlimen Australia terhadap kemungkinan ketua umumnya dimasukkan dalam penjara atas tuduhan sodomi.

Umum mengetahui pada 28 Oktober Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Anwar terhadap hukuman penjara tahun kerana disabit kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Mahkamah tertinggi itu juga akan mendengar rayuan balas Peguam Negara untuk menambah hukuman penjara itu.