Kes Liwat II: Pembangkang Terdesak Jemput Pemerhati Undang-undang Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Cubaan pembangkang untuk mendapatkan perhatian dunia berhubung perbicaraan Kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung esok dapat dilihat apabila mereka menjemput beberapa pemerhati undang-undang antarabangsa.

image

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Gooi Hsiao Leung berkata langkah itu diambil bagi memastikan proses itu berjalan dengan adil dan bebas tanpa sebarang campur tangan.

“Kita bekerjasama dengan beberapa pertubuhan antarabangsa dan pihak kedutaan, begitu juga pengamal undang-undang daripada Australia, United Kingdom, Perancis, Indonesia dan lain-lain.

“Pertubuhan antarabangsa seperti Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH), Pertubuhan Undang-undang Asia Pasifik (Lawasia), Inter-Parliamentary Union (IPU), Australian Law Council dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan untuk menghantar pemerhati mereka esok,” katanya di sidang medianya bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Gooi turut memberitahu perbicaraan kes liwat II Anwar dengan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan turut mendapat sokongan ulama dunia, Yusuf Al-Qardhawi.

Bagaimanapun kenyataan Qardhawi itu menurut Gooi masih dalam proses terjemahan dan belum sedia disiarkan kepada umum.

Sementara itu Rafizi ketika ditanya larangan Universiti Malaya (UM) terhadap pelajarnya untuk menghadiri program pidato Anwar ’40 tahun dari UM ke penjara’ malam ini berkata, naib canselor  institusi itu harus fokus kepada meningkatkan ranking universiti dan bukannya mencemarkan dan menjatuhkan imej mereka sendiri.

Tegas Rafizi, beliau dan Anwar akan tetap berada di UM malam ini dalam majlis alumni dan menyampaikan pidato.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas tindakan pembangkang yang tetap mahu mengheret UM ke kancah politik mereka juga akan mencalarkan imej institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

“Saya harap polis akan beri laluan yang sebaiknya sepertimana polis memberi laluan sebelum ini untuk keluar dan masuk ke UM.

“BERSIH 1, 2, 3 pihak polis telah mengambil tindakan yang keras. Namun akhirnya, mereka kena terima hakikat bahawa hak untuk berkumpul itu hak rakyat,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen.

Tambah beliau, sebelum ini kerajaan  dan pihak polis bukan sahaja mengepung UM tetapi mereka pernah mengepung Kuala Lumpur.

“Sebagai contoh jika berlakunya seperti  BERSIH. Kita akan tetap berada di UM malam ini.

“Malaysia perlu tukar undang-undang 1998,1999 yang sebelum ini menghalang hak untuk bersuara. Ini taktik lama, dan ia tidak akan berkesan kepada kami,” jelasnya.

Media semalam melaporkan UM mengeluarkan notis larangan kepada pelajarnya agar tidak terlibat dengan aktiviti melibatkan Anwar itu, kerana ia tidak mendapt kebenaran pihak pentadbiran dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) akan mengambil alih kawalan keselamatan IPTA itu bermula jam 4 petang sehingga 7 pagi esok (Selasa).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Datuk Rohana Yusof bagaimanapun menafikan laporan itu dan berkata tiada notis larangan dikeluarkan berikutan pihak pentadbiran tidak meluluskan program pidato itu dan beranggapan tiada aktiviti seumpama itu akan berlaku malam ini.

Rohana juga menolak laporan bahawa PDRM akan mengambil alih kawalan keselamatan dalam UM hari ini.

Advertisements