2.6 Juta Kanak-kanak Hidup Di Bawah Garis Kemiskinan Di Negara Kaya

GENEVA, 28 Okt – Sekurang-kurangnya 2.6 juta kanak-kanak hidup di bawah garis kemiskinan di negara terkaya dunia sejak berlakunya krisis ekonomi pada 2008, kata Agensi Bantuan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam laporannya hari ini.

image

Kajian bertajuk ‘Kanak-kanak Kemelesetan’ menunjukkan jumlah kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan di 41 negara meningkat kepada 76.5 juta sejak krisis berkenaan menjadi bertambah teruk.

“Kebanyakan negara kaya mengalami penurunan dalam pemerolehan pendapatan isi rumah, dan ini memberi kesan kepada kanak-kanak serta masyarakat mereka dalam jangka panjang,” kata Jeffrey O’Malley, Ketua Dasar Global dan Strategi UNICEF’.

Kajian itu membuat penilaian anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) negara maju, di samping negara Kesatuan Eropah (EU).

Ia mendapati di 23 daripada 41 negara, kemiskinan kanak-kanak meningkat akibat krisis berkenaan.

Kanak-kanak terjejas di negara yang dilanda krisis ekonomi teruk. Di Ireland, Croatia, Latvia, Greece dan Iceland, kadar kemiskinan meningkat melebihi 50 peratus.

Menyentuh mengenai impak krisis itu, UNICEF berkata, peratusan isi rumah tidak mampu membeli daging, ayam atau ikan setiap dua hari meningkat dua kali di negara seperti Estonia, Greece dan Itali.

Namun terdapat juga berita baik apabila di 18 negara, kadar kemiskinan kanak-kanak menurun dan kadang kala dengan ketara.

Australia, Chile, Finland, Norway, Poland dan Slovakia, sebagai contoh, mengalami penurunan sebanyak kira-kira 30 peratus. – AFP

Advertisements