PAS Cadang Kerajaan Persekutuan Bina Taman Tema Al-Quran Terbesar Di Dunia

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Seorang Ahli Parlimen PAS mencadangkan agar Malaysia membangunkan sebuah taman tema Al-Quran terbesar yang pertama di dunia yang dipercayai mampu menarik lebih ramai pelancong dan mendatangkan lebih banyak pahala kepada negara.

image

Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) berkata taman tema tersebut lebih bermanfaat daripada peruntukan bernilai RM30 juta yang dicadangkan untuk membina pusat percetakan kedua terbesar di dunia di Putrajaya.

“Saya mencadangkan peruntukan itu dipinda dan digunakan untuk pembinaan taman tema seperti dicadangkan.

“Di Malaysia, kini sudah ada Legoland, Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun.

“Kini sudah tiba masanya seluruh dunia datang ke Malaysia untuk mempelajari Al-Quran di dalam taman tema,” katanya ketika membahaskan ucapan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad Marzuk turut mencadangkan taman tema itu dibahagikan kepada 114 bahagian untuk melambangkan 114 surah dalam Al-Quran.

Beliau amat yakin kerajaan PAS Kelantan akan menawarkan tanah untuk projek tersebut.

Ketika ditanya oleh Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) mengenai kos projek yang dicadangkan itu, Ahmad Marzuk berkata, ia bukan menjadi kebimbangan pada masa sekarang.

“Kos bukan satu isu. Apa yang penting adalah lampu hijau daripada kerajaan. Sudah tentu ada peruntukan tambahan daripada kerajaan,” katanya.

Advertisements