Peguam Bela Anwar Persoal Kewujudan KY Jelly Dalam Kes Liwat

PUTRAJAYA, 28 Okt – Pasukan pembelaan dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoal sama ada terjadi penembusan dalam perbuatan liwat yang didakwa berlaku kerana keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak konsisten berhubung kewujudan bahan pelincir dalam perbuatan itu.

image

Dalam hujahnya, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, berkata berdasarkan keterangan pengadu, Mohd Saiful, di Mahkamah Tinggi, perbuatan itu dilakukan secara kasar serta laju hingga menyebabkannya mengalami kesakitan pada anus dan perut.

Berhujah di hadapan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Sri Ram berkata sekiranya keterangan itu betul, maka bahan pelincir dikenali sebagai ‘KY Jelly’ telah tidak digunakan kerana penggunaannya bertujuan memudahkan penembusan dan mengelak kesakitan.

Katanya bukti perubatan mengesahkan bahawa tiada trauma atau kecederaan dikesan pada anus Mohd Saiful.

Sri Ram berkata bahan pelincir itu tidak disebut pihak pendakwaan dalam senarai barang kes yang diambil daripada Mohd Saiful, saksi pertama dalam perbicaraan kes liwat berkenaan.

“Ketiadaan bahan pelincir dalam senarai itu menimbulkan keraguan serius tentang kredibiliti Mohd Saiful serta ketiadaan kredibiliti dalam kes yang dikemukakan pendakwa dan keseluruhan penyiasatan,” katanya serta menegaskan bahawa dalam laporan polis juga, Mohd Saiful tidak menyebut tentang penggunaan jeli itu.

Menjawab soalan Arifin kenapa beliau berkata tidak wujud kredibiliti, Sri Ram berkata sekiranya jeli digunakan, Mohd Saiful tidak akan mengalami kesakitan.

Sri Ram berhujah bahawa hakim perbicaraan langsung tidak memberi tumpuan terhadap bahagian berkenaan dalam kes terbabit, walaupun perkara itu (penggunaan KY Jelly) menjadi tumpuan asakan dalam pemeriksaan balas oleh peguam Karpal Singh.

Sri Ram berkata dalam keterangannya, Mohd Saiful menyatakan air mani terus berada di dalam anusnya selama beberapa hari, tetapi dalam keterangannya ketika disoal balas oleh Karpal, Mohd Saiful berkata dia tidak mandi selepas berlaku kejadian itu dan hanya membilas tubuhnya, tetapi mandi pada pagi sebelum kejadian itu.

“Ini menunjukkan keterangan Mohd Saiful tidak konsisten,” katanya.

Sri Ram berkata KY Jelly adalah bahan kes penting, tetapi ia hanya muncul dalam pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa terhadap Mohd Saiful dan Mohd Saiful pula memberitahu mahkamah bahawa dia sendiri membeli jeli itu sebelum pergi ke kondominium berkenaan.

Sri Ram berkata apabila ditanya Karpal pada kali pertama sama ada jeli berkenaan adalah sesuatu yang difikirkan kemudian, Mohd Saiful menjawab ‘ya’, tetapi saksi utama itu mengubah jawapan kepada ‘tidak’ selepas dia meminta Karpal mengulang pertanyaan itu.

Pada perbicaran hari ini, Ky Jelly menjadi fokus pihak pembelaan, walaupun ia tidak begitu diberi tumpuan ketika rayuan kes ini dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 6 dan 7 Mac tahun ini.

Dalam rayuan terakhirnya ini, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya kerana meliwat Mohd Saiful, 27, manakala pihak pendakwaan memfailkan rayuan balas untuk memohon mahkamah menambah hukuman penjara yang dikenakan terhadap Anwar, 67.

Pihak pembelaan mengemukakan 46 alasan untuk memohon mahkamah melepaskan Anwar daripada tuduhan itu dengan berkata sabitan yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac adalah tidak kukuh.

Dalam satu lagi hujahnya, Sri Ram mempertikai perbuatan Mohd Saiful yang hanya membuat laporan polis dua hari selepas berlakunya kejadian yang didakwa itu dengan memberi alasan dia bimbang tentang keselamatan dirinya.

Kata peguam itu, sekiranya perkara itu betul, Mohd Saiful pasti telah membuat laporan polis atau dengan sendiri pergi mendapatkan pemeriksaan fizikal dengan secepat mungkin, tetapi Mohd Saiful menunggu sehingga dua hari sebelum pergi ke hospital dan seterusnya membuat laporan polis pada 28 Jun 2008.

Ketika menyerang kredibiliti Mohd Saiful sebagai saksi utama, Sri Ram berkata tingkah laku Mohd Saiful ketika kejadian liwat itu didakwa berlaku adalah tidak konsisten dengan keterangannya.

Datuk Seri Gopal Sri Ramalam hujahnya, Sri Ram berkata Mohd Saiful pergi berjumpa Anwar pada hari berikutnya selepas hari yang dikatakan berlaku kejadian itu untuk mengadakan perbincangan dan selepas itu minum teh bersama Anwar di rumah Anwar. “Tingkah lakunya pada 27 Jun 2008, sehari selepas kejadian itu didakwa berlaku, menjelaskan sesuatu.

Dia mengenal pasti dirinya dalam foto yang dirakam ketika minum teh di situ.

Berdasarkan gambar berkenaan, tingkah laku saksi pertama ini (Mohd Saiful) adalah sangat penting,” katanya.

Sri Ram berkata Mohd Saiful hampir tidak langsung kelihatan seperti seseorang yang sedang diancam atau seseorang yang berada dalam ketakutan, tetapi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terlepas pandang mengenainya dalam kes ini.

Mengenai alasan berikutnya, Sri Ram berhujah tentang dua seluar dalam Mohd Saiful yang dipakai saksi itu dalam kejadian berkenaan dan ketika dia membuat laporan polis, tetapi tidak disebut dalam rayuan di Mahkamah Rayuan.

Katanya Mohd Saiful memakai seluar dalam pada hari dia didakwa diliwat, tetapi dari segi forensik, ia tidak bermakna kerana apabila pegawai penyiasat merampas seluar dalam itu, ia telah dicuci oleh ibu tunang Mohd Saiful.

Bagaimanapun, ahli kimia mendapati wujud kesan air mani pada satu lagi seluar dalam yang dipakai Mohd Saiful pada hari dia membuat laporan polis iaitu 28 Jun 2008.

“Menurut pihak pendakwaan, kesan itu berasal daripada perayu, tetapi seluar dalam berkenaan bukanlah yang dipakai Mohd Saiful pada waktu berkenaan. Ini menyebabkan keterangan Mohd Saiful tidak boleh diterima.

“Mahkamaah Tinggi terlepas pandang sepenuhnya tentang semua perkara ini. Mahkamah Rayuan tidak mendapati seluar dalam berkenaan disebut dalam penghakiman (mahkamah Tinggi) pada kali pertama. Ia juga tidak mendapatinya disebut dalam penghakiman yang mensabitkan kesalahan perayu (Anwar),” katanya. – Bernama

Advertisements