Rayuan Terakhir Kes Liwat II Anwar Berkemungkinan Dilanjutkan Sehingga Khamis

PUTRAJAYA, 28 Okt – Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar akan dilanjutkan sehingga Khamis.

image

Ini berbeza dengan ketetapan asal untuk pendengaran rayuan tersebut selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu.

Perkara ini diberitahu sendiri oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang mengikuti pendengaran kes pada Selasa dan meminta supaya penyokong-penyokong Anwar tidak cepat berputus asa.

“Ada kemungkinan dan cakap-cakap awal kes ini akan berlanjutan sehingga Khamis.

“Jangan cepat mengalah dan yang paling penting ada masa yang cukup untuk pastikan peguambela dapat meneruskan hujah bagi menunjukkan keadilan dapat ditegakkan di mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika sesi pendengaran rayuan kes liwat Anwar berhenti rehat.

Turut memaklumkan perkara yang sama ialah Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin yang menyampaikan pesanan bagi pihak Anwar.

“Datuk Seri Anwar sendiri berpesan kepada saya supaya bersedia mungkin kes akan sampai hari Khamis.

“Dia minta semua bersabar, teruskan perjuangan sebab ini bukan keadilan untuk beliau tapi untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata pada Selasa Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan peguam Anwar sedang memberikan hujah-hujahnya.

Katanya, terdapat beberapa lagi peguam Anwar yang akan mengetengahkan hujah dan mematahkan hujah pihak lawan.

“Ia mungkin menjadikan kes ini dibawa sehingga Khamis,” katanya.