Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Minta Kerajaan Kaji Semula Peranan PEMANDU

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan harus mengkaji semula peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kerana ia bertindih dengan peranan kementerian tertentu, kata seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Rabu.

image

Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) mendakwa kementerian tertentu berpendapat bahawa Pemandu telah mengambil alih peranan mereka sehingga menyebabkan berlaku perselisihan faham diantara mereka.

“Tidak ada komunikasi yang baik dengan kementerian. Terdapat banyak pertindihan dan arahan tidak jelas,” katanya.

Jelas beliau, situasi itu menyebabkan ketidakcekapan dalam pentadbiran negara.

Abdul Aziz berkata, Pemandu perlu menjadi sebahagian daripada keseluruhan sistem yang tidak berlaku pada masa ini.

“Sebagai contoh, apabila Pemandu mengeluarkan laporan mengenai standard cara hidup rakyat Malaysia, ia amat berbeza dengan apa yang diperkatakan oleh Kementerian Kewangan atau Bank Negara.

“Ini mewujudkan kekeliruan, bukan sahaja di kalangan rakyat, tetapi juga kakitangan kerajaan ketika melaksanakan perancangan tertentu,” katanya.

Pemandu adalah satu unit dibawah Jabatan Perdana Menteri yang menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).