Pencucuk Sate Ditahan Polis Indonesia Kerana Menghina Presiden

JAKARTA, 29 Okt – Polis Indonesia menahan seorang pemuda berusia 24 tahun Khamis lalu kerana menghina Presiden Jokowi di Facebook sejak Julai lalu.

image

Hanya dikenali sebagai MA, pemuda terbabit dikatakan terpengaruh dengan kehangatan persaingan pilihan raya presiden, Julai lalu.

Peguam MA, Irfan Fahmi berkata, pemuda terbabit terikut-ikut dengan suasana politik semasa.

Ketika itu MA menggunakan akaun Facebooknya untuk memuat naik beberapa kandungan menghina Jokowi.

“MA tidak tahu perbuatannya itu boleh menyebabkan dia dipenjara.

“Tambahan pula pekerjaannya hanya tukang cucuk sate di sekitar rumahnya di Ciracas, Jakarta Timur,” katanya.

MA ditangkap pada awal pagi 23 Oktober lalu di rumahnya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Indonesia dan ditahan reman sehingga kini.

Dia kini berdepan pelbagai tuduhan, termasuk mencemar nama baik dan melanggar undang-undang pornografi.

Jika didapati bersalah, MA boleh dipenjara sehingga 10 tahun.

Sementara itu Irfan berkata, keluarga MA ingin bersemuka dengan Jokowi bagi meminta maaf secara langsung dan berharap kes berkenaan tidak dipanjangkan.

“Jika diberi keizinan, keluarga MA mahu bersimpuh di kaki Jokowi dan memohon pemuda terbabit dibenarkan pulang segera.

“Ketika saya temuinya tadi (Selasa), MA kelihatan begitu ketakutan,” katanya.

Advertisements