Permohonan Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh Akan Dibuka Bermula 1 Hingga 30 Disember

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Permohonan kemasukan pelajar tingkatan empat ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2015 akan dibuka secara dalam talian bermula dari 1 hingga 30 Dis ini.

image

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata calon-calon yang memohon untuk masuk ke SBP boleh mula mengisi borang saringan pencapaian Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), dan Psikometri pada 1 Dis 2014.

Bagaimanapun katanya keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang sebenar boleh diisi bermula 22 Dis iaitu tarikh menerima keputusan PT3 2014 di sekolah masing-masing serta boleh menyemak status keputusan pemilihan dan penempatan selewat-lewatnya mulai 30 Jan 2015.

Menurut kenyataan itu antara kriteria kemasukan ke tingkatan empat SBP menerusi PT3 ialah memperoleh gred A bagi sekurang-kurangnya enam mata pelajaran termasuk Sains dan Matematik (tidak termasuk mata pelajaran bahasa tambahan), serta memperoleh sekurang-kurangnya gred B bagi mata pelajaran lain.

Selain itu katanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris masing-masing ditaksir secara ujian bertulis dan ujian lisan.

Bagi kemasukan ke SBP 2015 aspek pemilihan meliputi status sosio-e3konomi keluarga dan lokasi sekolah asal murid, selain calon mestilah warganegara Malaysia dan bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.

Sehubungan itu calon-calon yang berjaya turut dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendaftar di SBP yang ditetapkan bermula 23 Feb 2015 dan bagi calon yang tidak berjaya boleh mengemukakan permohonan secara e-rayuan di laman web KPM http://www.moe.gov.my

Advertisements