Tahap Keselamatan Di Esszone Lebih Selamat Berbanding KL – Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kawasan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) lebih selamat berbanding Kuala Lumpur.

image

Katanya, semua pihak perlu yakin dengan tahap keselamatan di kawasan perairan timur Sabah berdasarkan kawalan keselamatan yang ketat.

“Saya rasa di kawasan Esszone ini kita bergerak dalam keadaan yang kita sentiasa diperhatikan oleh pasukan keselamatan.

“Malah (berbanding) di Kuala Lumpur ini, saya rasa Esszone lebih selamat kerana kita diperhatikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Makin @ Marcus Majigoh di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selain itu, menurut Shahidan, Esszone disahkan selamat termasuk bagi tujuan perlancongan.

Malah, menurut beliau, perintah berkurung di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang dikuatkuasakan sejak Julai lalu turut tidak menjejaskan sektor ekonomi khususnya perlancongan dan perikanan.

“Kawasan Esszone yang dikendalikan oleh Esscom ini adalah kawasan yang selamat, dan saya pergi tiap-tiap minggu ke Sabah untuk melihat sendiri keadaan keselamatan di sana.

“Saya juga masuk ke kawasan yang dikatakan tidak selamat dan InsyaAllah selamat,” katanya.

Tambah beliau, kawalan keselamatan di Esszone juga turut mendapat reaksi positif oleh pelancong dari luar negara.

“Baru-baru ini saya pergi ke Sabah dan sempat berborak dengan seorang pelancong.

“Saya tanya kenapa dia masih ke sini, dia jawab di kawasan itu mereka dapat kawalan keselamatan yang baik. Nak pergi tengok penyu pun ada anggota keselamatan memerhatikan mereka,” katanya.

Advertisements