Didakwa Di Atas Tuduhan Beri Sokongan Pada ISIS

SEPANG, 31 Okt – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) pada 5 Oktober lalu.

image

Ummi Kalsom Bahak, 25, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 20 November ini untuk sebutan semula kes.

Jumlah suspek militan Malaysia yang ditahan Bahagian Anti Pengganas kini meningkat kepada 22 orang sejak 28 April lalu.

Kerajaan turut mengumumkan akan memerangi kumpulan militan ISIS dan membendung penglibatan rakyat dalam menyertai gerakan tersebut.

Minggu lalu pula kerajaan mengesahkan seramai 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita terlibat dengan gerakan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Bagaimanapun, sehingga kini kerajaan belum mengenal pasti sama ada kumpulan itu terlibat dengan aktiviti Jihad Al-Nikah.

Jihad Al-Nikah atau jihad seks merujuk kepada konsep kontroversi di mana wanita Sunni dikatakan menawarkan diri untuk memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.