Dua Anak Kepada Seorang Penumpang Pesawat MH370 Saman Kerajaan Dan MAS

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Selepas kejadian hitam kehilangan pesawat malang MH370 8 Mac lepas, dua anak kepada seorang penumpang pesawat MH370, hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap terhadap kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines (MAS).

image

Saman itu difailkan mereka yang berusia 13 dan 11 tahun, melalui firma guaman, Tetuan Rusman Arun & Associates.

Dengan jumlah ganti rugi yang tidak dinyatakan, kedua-dua mereka selaku pihak plaintif membawa tindakan tersebut melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming.

Mereka menuntut ganti rugi atas kehilangan sokongan, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan selepas MAS didakwa gagal mendaratkan pesawat itu di Beijing, China tanpa sebarang butiran pengakhiran mengenai pesawat tersebut sehingga kini.

Plaintif juga menamakan MAS, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku defendan pertama hingga kelima.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, berdasarkan analisis data satelit oleh pakar daripada United Kingdom.

Misi pencarian MH370 masih diteruskan tetapi setakat ini tiada petunjuk ditemui berhubung pesawat itu.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, negara-negara yang terlibat dalam pencarian MH370 sehingga kini tidak pernah membuat sebarang tuntutan daripada Malaysia walaupun pencarian melibatkan aset-aset ketenteraan.

Advertisements