Liwat II: Shafee Abdullah Nafi Ada Konspirasi Politik Untuk Jatuhkan Anwar

PUTRAJAYA, 31 Okt – Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menafikan tuduhan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kes rayuan Liwat II ini mempunyai unsur konspirasi politik.

image

“Keseluruhan pembelaan utama perayu terdapat konspirasi politik. Sekurang-kurangnya dua peguamnya mengutarakan isu ini,” kata Shafee sebaik Mahkamah Persekutuan mula bersidang hari ini.

Selasa lalu, Peguam Anwar N Surendran berkata, tuduhan terhadap anak guamnya dalam kes liwat membabitkan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, pada 2008 bermotifkan politik.

Anwar turut membuat dakwaan berkenaan dalam kenyataan setebal 32 muka surat dari kamar mahkamah.

Memetik kenyataan Anwar, Shafee berkata tuduhan berkenaan adalah umum dan tidak mempunyai syarat tertentu.

Shafee berkata Anwar sekali lagi membuat dakwaan konspirasi seperti yang dilakukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shafee berkata beliau akan memeriksa dan menganalisis maksud konspirasi politik seperti didakwa pihak pembelaan.

Tiada sesiapa yang meminta Anwar memberikan kenyataan bukan bersumpah, kata Shafee. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh memilih berdiam diri tetapi Anwar mahu menjelaskan mengapa beliau mahu membuat kenyataan itu.

Kenyataan bukan bersumpah dari kamar dikira sebagai keterangan yang tidak boleh diterima.

Surendran turut meminta mahkamah mempertimbangkan kenyataan bukan bersumpah anak guamnya semasa perbicaraan.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak kenyataan bukan bersumpah itu dan menyifatkannya penafian kosong pertuduhan.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan dalam perbicaraan rayuan kes liwat Anwar yang masuk hari keempat hari ini.‎

Shafee mengetuai pendakwaan dalam menangkis beberapa perkara yang ditimbulkan peguambela Anwar sepanjang tiga hari lalu.

Advertisements